Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Mbappe selamatkan PSG dari tersingkir

    PARIS, 29 NOV – Penalti Kylian Mbappe pada minit ke-98 membolehkan Paris Saint-Germain (PSG) melakarkan keputusan seri 1-1 dalam Liga Juara-Juara menentang Newcastle United pada awal pagi tadi, sekali gus memastikan kelab Perancis itu layak ke pusingan 16 terakhir dan meletakkan lawan mereka berada dalam bahaya untuk tersingkir di peringkat kumpulan.

    Perlawanan kelihatan seakan memihak kepada Newcastle yang menang 4-1 ketika kedua-dua pasukan bertemu di St James Park bulan lalu dan akan meninggalkan Paris dengan tiga mata dalam pertemuan Kumpulan F hasil gol pembukaan Alexander Isak pada minit ke-25.

    PSG seperti sudah buntu mencari gol namun mereka diberi peluang menyelamatkan perlawanan dengan keputusan seri pada masa kecederaan apabila VAR memutuskan bola terkena tangan Tino Livramento di dalam kotak dan diberikan sepakan penalti.

    Mbappe tidak membuat kesilapan untuk memastikan PSG yang kini berada tempat kedua kumpulan di belakang Borussia Dortmund yang menang 3-1 di tempat lawan mengatasi AC Milan, mara ke pusingan 16 terakhir.

    Juara Perancis itu akan mengesahkan tempat jika menang di Dortmund dalam perlawanan terakhir kumpulan manakala Newcastle kini perlu menang di tempat sendiri menewaskan Milan dan berharap PSG tewas.

    “Saya rasa ia keputusan yang mengecewakan,” kata pengurus Newcastle, Eddie Howe mengenai penalti itu.

    “Ia amat mengecewakan kami kerana pada masa itu kita tahu hanya tinggal sedikit masa dalam permainan tetapi tiada apa yang boleh kami lakukan sekarang,” tambahnya. – AFP

    Mbappe (kanan) menjaringkan sepakan penalti semasa pusingan pertama Liga Juara-Juara UEFA, di stadium Parc des Princes di Paris. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...