Tuesday, July 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mbappe ‘tidak terkesan’ dengan kemenangan PSG

    STUTTGART, 8 JUN – Kapten Perancis, Kylian Mbappe berkata kelmarin dia tidak kecewa apabila Paris Saint-Germain memenangi Liga Juara-Juara setahun selepas pemergiannya ke Real Madrid.

    “Saya bukannya pergi terlalu awal; kisah saya dengan PSG sememangnya sudah berakhir. Saya tidak kecewa; saya sudah sampai ke penghujungnya (bersama PSG),” kata Mbappe dalam sidang akhbar menjelang perlawanan tempat ketiga Liga Negara-Negara menentang Jerman di Stuttgart hari ini.

    PSG menumpaskan Inter Milan 5-0 untuk memenangi Liga Juara-Juara di Munich Sabtu lalu, kali pertama kelab itu memenangi pertandingan itu.

    “Saya dah cuba segala-galanya dan itu adalah takdir yang bermakna ia mesti berlaku tanpa saya,” kata Mbappe.

    “PSG memenangi Liga Juara-Juara tanpa saya tidak menjejaskan saya. Saya gembira, saya rasa mereka layak mendapatnya.

    “Mereka telah berusaha dan bersusah payah beberapa tahun. Saya juga pernah mengalaminya; Saya telah bermain di setiap peringkat Liga Juara-Juara di Paris kecuali untuk menang.

    “Mereka pasukan terbaik di Eropah. Saya tidak ingat bila kali terakhir saya dapat lihat sebuah pasukan menang 5-0 dalam perlawanan akhir utama.”

    Mbappe mengidamkan kejuaraan pertandingan kelab terbesar di Eropah tersebut tetapi pencapaian paling hampir adalah tewas di final pada 2020 kepada Bayern Munich.

    Dia kemudian berpindah ke Madrid pada 2024 dengan harapan untuk menjulang Liga Juara-Juara, tetapi pasukan gergasi Sepanyol tersebut tersingkir pada suku akhir bertemu Arsenal April lalu.

    Real telah gagal memenangi trofi pada musim 2024-25 kali ini menjadikan kempen pertama mereka tanpa trofi dalam tempoh empat tahun. – AFP 

    Gaya Kylian Mbappe semasa sesi latihan pasukan Perancis di Bietigheim dekat Stuttgart, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda