BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Majlis Belia Brunei (MBB) dan Ijtihad Travel Sdn Bhd berjaya menganjur kejohanan badminton yang berlangsung selama dua hari bermula 19 hingga 20 April di Dewan Riadah Pusat Belia.
Kejohanan yang menampilkan kategori beregu lelaki bagi pemain berumur 15 hingga 45 tahun itu telah menarik penyertaan seramai 32 pemain (16 pasukan) yang memperlihatkan semangat kesukanan, kerjasama berpasukan serta minat mendalam terhadap sukan badminton.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohammad Rosfazilah bin Haji Yusly.
Pusingan suku akhir dan separuh akhir yang berlangsung pada hari kedua kejohanan menyaksikan aksi-aksi sengit sebelum perlawanan akhir yang mendebarkan.
Pasangan Lim Hua Kiong dan Leeun Wong muncul juara selepas menewaskan lawan mereka di perlawanan akhir dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah $200 bersama sebuah peranti elektronik.

Tempat kedua dimenangi oleh pasangan Chris Yong Shun De dan Liew Yu Leong yang menerima hadiah wang tunai $150, manakala tempat ketiga milik pasangan Mohammad Akmal Firdaus bin Mohamad Ali dan Mohammad Zulkhairi bin Haji Mohd Ariff yang membawa pulang wang tunai $120.
Wakil MBB, Muhammad Zuhairi bin Haji Hadi dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran kejohanan tersebut dan menekankan bahawa kerjasama bersama Ijtihad Travel Sdn Bhd bukan sahaja menjayakan pertandingan, tetapi turut mengukuhkan hubungan komuniti dan memupuk semangat kesukanan yang sihat.
“Di sebalik pertandingan ini, nilai-nilai kekitaan, semangat kesukanan dan gaya hidup sihat turut disemarakkan,” ujarnya.
MBB dan Ijtihad Travel Sdn Bhd juga merakamkan penghargaan kepada semua peserta, sukarelawan serta para penaja termasuk Gardenia Food Industries dan The TuckShop Kopitiam atas sokongan padu mereka.
Sebagai kesinambungan, MBB merancang untuk menganjurkan lebih banyak program seumpamanya bagi menggalakkan penglibatan belia dan gaya hidup sihat di masa akan datang.