Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Mesyuarat Majlis Bencana Kebangsaan (MBK) Kali Kedua bagi tahun 2025 telah diadakan di Dewan Serbaguna, Tingkat 6, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, baru-baru ini.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei Darussalam Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Mesyuarat MBK.
Dalam ucapan pembukaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin menzahirkan penghargaan terhadap komitmen semua agensi dalam memperkukuhkan daya tahan negara terhadap bencana.
Beliau turut menegaskan keperluan kesiapsiagaan berterusan selaras dengan komitmen serantau ASEAN di bawah dasar ‘One ASEAN, One Response’ dan Perjanjian ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER).
“Keperluan bagi memastikan usaha untuk mewujudkan kumpulan Urban Search and Rescue (USAR) negara yang mendapat pengklasifikasian antarabangsa dapat dicapai,” tegasnya.
Pasukan ini akan diselaraskan oleh NDMC dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta Kementerian Pembangunan.
Ini antara lain bertujuan untuk perancangan dan koordinasi, Mesyuarat mencadangkan pembentukan Pasukan Pengurusan Projek (Project Management Team) untuk menyelaras keperluan latihan, peralatan dan kos penubuhan pasukan USAR negara.
Mesyuarat MBK kali ini telah mendengarkan pembentangan mengenai penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam Latihan Simulasi ASEAN Regional Disaster Emergency Response Simulation Exercise (ARDEX-25) yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja pada 22 hingga 24 Julai 2025.
Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC)Dayang Ruhaidah binti Haji Rusli.
Semasa perkongsian, beliau memaklumkan bahawa penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam Latihan ARDEX-25 telah meningkatkan kapasiti dan kepakaran pasukan tindak balas bencana negara.
Selain itu, ia telah memperkukuhkan koordinasi antara agensi peringkat kebangsaan dan serantau serta mengenal pasti jurang yang perlu diperbaiki dalam aspek kesiapsiagaan negara.
Mesyuarat mengalu-alukan perancangan pelaksanaan Latihan Bencana Kebangsaan 2026 (LBK-26) sebagai platform menyeluruh untuk menguji keberkesanan National Standard Operating Procedure (NaSOP) dan pengintegrasiannya dengan SOP-SOP dari agensi-agensí yang lain.
Di samping itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin turut mencadangkan agar Latihan Bencana Kebangsaan yang dirancang itu nanti akan mensimulasikan senario ekstrem seperti gempa bumi, tsunami dan gegaran, bagi menilai ketahanan logistik, komunikasi serta perlindungan aset kritikal negara.
Selain menegaskan bahawa kerjasama erat semua ahli MBK adalah kunci kepada kejayaan usaha ini dan berharap semua pandangan dan cadangan strategik dimanfaatkan bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan negara.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Berhormat Dato Serí Setia Awang Haji Nazmi bin Awang Haji Mohamad, selaku Timbalan Pengerusi Bersama serta Ahli MBK yang terdiri daripada Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Ketua-Ketua Jabatan dari agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.



