Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 18 Sept – Dengan hasrat untuk melihat pelajar-pelajar terus sihat dan cergas, Syarikat MC Maju Cold Storage Sdn Bhd telah melakukan inisiatif menyumbangkan minuman susu segar kepada murid-murid di Sekolah Chung Hua Seria, hari ini.
Lebih 200 orang murid kelas tadika sekolah berkenaan telah menerima sumbangan susu segar daripada syarikat tersebut yang disampaikan oleh Pengarah Urusannya, Sylvia Liew bersama Pengurusnya, NY Yong.
Menurut Sylvia Liew, syarikat mereka telah membawa masuk produk baru susu tersebut dari Jerman dan ia merupakan produk halal dan sihat untuk diminum setiap hari terutama bagi kalangan kanak-kanak.
Sumbangan susu tersebut turut disampaikan kepada pelajar-pelajar di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) cawangan Belait di mana, NY Yong telah menyampaikannya kepada Pengurus Pusat Ehsan cawangan Belait, Dayang Hamimah binti Haji Sapar.
Menurut Dayang Hamimah, pusat tersebut juga menerima sumbangan seperti makanan untuk sarapan pagi dan susu segar setiap hari sejak beberapa bulan yang lalu.


“Bagi pihak pusat ini, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada syarikat berkenaan yang telah memberi sumbangan kepada pelajar-pelajar di pusat ini dalam bentuk makanan yang boleh mendatangkan kesihatan, terutama sekali minuman susu segar yang berkualiti tinggi,” katanya.
Lebih 50 orang pelajar pusat tersebut merasa seronok mengalu-alukan ketibaan NY Yong yang sudah mereka kenali apabila menghantarkan makanan untuk sarapan pagi kepada mereka dan keseronokkan bertambah setelah menerima minuman susu segar.
Menurut Sylvia Liew, sumbangan syarikat mereka itu antara lain bertujuan untuk melihat kalangan pelajar untuk terus cergas dan bersemangat semasa belajar dan melakukan aktiviti-aktiviti sekolah setiap hari.
Ia juga merupakan salah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut dalam sama-sama membantu masyarakat sekitarnya.