Oleh Fadhil Yunus –
SINGAPURA, 12 MAC – Ketua jurulatih DPMM FC, Jamie McAllister, menggesa anak buahnya untuk menunjukkan lebih kualiti dan keyakinan dengan bola menjelang perlawanan Piala Singapura 2024-2025 menentang Hougang United di Stadium Jalan Besar, Singapura, Sabtu ini.
Skuad DPMM FC sebelum ini mencatat keputusan seri 1-1 menentang Young Lions dalam aksi terbaru Liga Perdana Singapura selepas jaringan Gabriel Gama menyamakan kedudukan berikutan gol pembukaan Danish Qayyum.
Dalam temu bual selepas perlawanan, McAllister berkata, “Saya rasa dalam 30 minit pertama kami bermain dengan lemah. Kami bermula perlahan, tidak memenangi cukup pertarungan satu lawan satu dan gagal mendapatkan bola kedua.
“Mereka mendominasi separuh jam pertama dan kami melepaskan gol yang lemah. Tetapi selepas itu, kami mencipta beberapa peluang baik dalam 15 minit terakhir babak pertama, dan pada babak kedua, saya rasa kami mendominasi selama 20-25 minit pertama.”
Beliau menambah, “Kami mempunyai beberapa peluang baik, terutamanya menerusi sepakan sudut. Keputusan seri mungkin adil berdasarkan permainan, tetapi kami juga berpeluang untuk menang.”

McAllister mengakui bahawa pasukannya menunjukkan peningkatan selepas rehat, berbanding persembahan hambar pada babak pertama.
“Kami tidak cukup berkualiti dalam separuh masa pertama dan tidak melakukan asas permainan dengan baik.
“Kami tidak memenangi bola kedua dan tidak mengekalkan penguasaan bola.
“Kami kerap kehilangan bola secara mudah terutama dalam 30 minit pertama. Tetapi selepas itu, kami bangkit dalam babak kedua dan saya rasa kami bermain jauh lebih baik.”
Pasukan berpangkalan di Brunei itu kini dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan mereka ke pusingan kalah mati Piala Singapura dengan keputusan positif menentang Cheetahs.
Sebagai pendahulu Kumpulan ‘A’, DPMM FC kini berada di kedudukan terbaik dengan tujuh mata dan berpeluang mengekalkan tempat teratas dengan kemenangan.