Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    McCarty rangkul gelaran pertama Jelajah PGA

    LOS ANGELES, 15 OKT – Pemain golf baharu, Matt McCarty, meraih gelaran Jelajah PGA pertamanya selepas mencatatkan empat bawah par 67 untuk kemenangan tiga pukulan dalam Kejohanan Black Desert di Ivins, Utah, baru-baru ini.

    Pemain kidal berusia 26 tahun dari Arizona itu meneruskan prestasi cemerlang daripada Jelajah Korn Ferry, menyertai Jelajah PGA buat kali ketiga dalam kerjayanya dan kali kedua selepas memperoleh kelayakan secara automatik menerusi tiga kemenangan dalam siri pembangunan musim ini.

    McCarty menjadi pemain pertama sejak Jason Gore pada 2005 yang memenangi gelaran Jelajah PGA pada musim yang sama selepas dinaikkan pangkat melalui tiga kemenangan.

    “Melakukannya seperti ini? Saya sendiri tidak sangka. Ia sangat menyeronokkan dan terasa seperti mimpi,” kata McCarty.

    McCarty mencatat satu eagle dan empat birdie dengan dua bogey di lapangan Black Desert Resort par-71. Keseluruhan catatan 23 bawah par 261 meletakkannya tiga pukulan di hadapan pemain Jerman, Stephan Jaeger, yang mencatat 68 untuk jumlah keseluruhan 264.

    McCarty ketika bergambar bersama trofi selepas memenangi kejohanan tersebut di St George, Utah, baru-baru ini. – AFP

    McCarty memulakan hari dengan kelebihan dua pukulan, menambah dua birdie di sembilan lubang pertama dan mengekalkan kedudukan tersebut sehingga lubang ke-11.

    Namun, McCarty menghadapi saat-saat cemas dengan bogey tiga putt di lubang ke-12 dan pukulan tee tersasar di lubang ke-13, yang menyebabkannya hanya mencatat par.

    Dia bagaimanapun memperkukuh kedudukan dengan eagle di lubang ke-14, apabila pukulan tee-nya melantun di hadapan green dan berhenti empat kaki dari pin.

    McCarty menambah birdie lapan kaki di lubang ke-16. Walaupun gagal melakukan par putt pendek di par-tiga lubang ke-17, McCarty menamatkan kejohanan tersebut dengan birdie par-lima di lubang ke-18 untuk hari keempat berturut-turut.

    “Ia sangat baik,” katanya. “Satu pertarungan sengit – banyak pin sukar dan angin semakin kencang. Saya berjaya mengawal permainan dan mengekalkan banyak par tanpa tekanan,” tambahnya.

    Pemain veteran Amerika Syarikat (AS), Lucas Glover, yang mempunyai enam gelaran termasuk Terbuka AS 2009, mencatat 62 sembilan bawah par dengan sembilan birdie, sekali gus berkongsi tempat ketiga dengan Kevin Streelman (69) dengan jumlah keseluruhan 265.

    Pemain Jerman, Matti Schmid, menamatkan kejohanan dengan 62 selepas mencatat tujuh birdie dan satu eagle, menempatkannya di kedudukan kelima dengan jumlah keseluruhan 266. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda