Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    McD M’sia rancang ‘lebar sayap’

    SEREMBAN, 31 Okt – McDonald’s Malaysia, rangkaian global perkhidmatan makanan bercadang membuka sehingga 16 restoran lagi di seluruh negara pada tahun ini, kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, Azmir Jaafar.

    Beliau berkata setakat ini bagi 2018, pihaknya sudah membuka hampir 10 restoran.

    “Bagi rancangan jangka panjang dalam tempoh lima tahun, kita mensasarkan untuk membuka 400 restoran. Jadi, dalam masa lima tahun ini, kita akan membuka 20 hingga 25 restoran setiap tahun. 400 restoran memerlukan 20,000 pekerja.

    “Jadi, insya-Allah, program perantisan McDonald’s menerusi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah Kementerian Sumber Manusia merupakan antara sumber kita mendapatkan tenaga kerja,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan tanggungjawab sosial korporat bagi Program Komuniti McDonald’s dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RHMC) dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan.

    Azmir berkata program pertukaran pekerja juga akan diadakan antara McDonald’s Malaysia dengan McDoland’s luar negara seperti McDonald’s Singapura, McDonald’s Jeddah dan McDonald’s Qatar.

    Mengenai majlis itu, beliau berkata tiga acara diadakan hari ini iaitu penyerahan zakat perniagaan McDonald’s sebanyak RM100,000 kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS), penyerahan sijil kepada pelatih SLDN serta pemberian pek ‘Kembali ke Sekolah’.

    Beliau berkata, McDonald’s Malaysia yang bertapak lebih 35 tahun di Malaysia amat mementingkan program komuniti dengan mengadakan lebih 6,000 program komuniti di seluruh negara antaranya Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, ‘Gift of Smile’ dan program ‘Kembali ke Sekolah’. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda