Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Mcdonald’s Brunei terus berkembang

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Restoran makanan segera kegemaran ramai ini, McDonald’s Brunei telah mencecah usianya ke-30 tahun.

    Dalam usaha bersama dengan Mc-Donald’s Malaysia, McDonald’s Brunei secara rasminya telah memulakan operasinya pada 15 Disember 1992 yang didaftarkan di bawah Syarikat Golden Arches (B) Sdn Bhd.

    Pada tahun 2011, McDonald’s Brunei telah mendapatkan lesen pembangunan daripada McDonald’s Corporations dan diambil alih oleh Syarikat Darussalam Assets Sdn Bhd, sekali gus mendaftarkan nama syarikat menjadi Syarikat Makan Ceria Sdn Bhd.

    Semenjak bernaung di bawah Syarikat Darussalam Assets Sdn Bhd, pelbagai perkembangan dan pembangunan McDonald’s Brunei dapat disaksikan apabila syarikat berkenaan membuka cawangan keduanya, McDonald’s Pandu Lalu Jerudong Park pada 28 Jun 2016, selepas hampir 24 tahun beroperasi di negara ini. McDonald’s terus berkembang apabila syarikat tersebut membuka cawangan ketiga, iaitu McDonald’s Pandu Lalu Lambak pada 26 Oktober 2018, dan cawangan keempat McDonald’s Airport Mall pada 1 Mei 2022.

    Perkembangan syarikat tersebut tidak hanya tertumpu dari segi penambahan cawangan bahkan juga pelaksanaan projek-projek bagi memenuhi keperluan digital sekali gus menjadikan McDonald’s Brunei setaraf dengan piawaian McDonald’s global.

    Dayang Hartini memulakan perjalanannya bekerja di McDonald’s sejak tahun 1992.
    Dayang Megawati yang bertugas di McDonald’s sejak 30 tahun yang lalu.
    Majlis memotong kek bagi meraikan ulang tahun ke-30 penubuhan McDonald’s Brunei yang berlangsung baru-baru ini bertempat di Big Mac Room McDonald’s Gadong.

    Pakej bungkusan makanan dan minuman sempena ulang tahun ke-30 penubuhan McDonald’s Brunei.

    Terkini, syarikat tersebut sedang giat menjalankan projek GMA Lite yang akan dilaksanakan secara berfasa. Ia merupakan sebuah aplikasi digital khusus untuk memberikan kemudahan kepada pelanggan. Pihak syarikat berharap dengan adanya inisiatif seumpama ini akan dapat meningkatkan lagi prestasi syarikat sekali gus memberikan impak positif kepada perkembangan syarikat.

    Dalam pada itu, pihak pengurusan syarikat juga akan sentiasa memastikan kesemua kakitangan syarikat diberikan peluang untuk menimba ilmu, meningkatkan kemahiran kerja sekali gus memperluaskan lagi pengalaman serta pendedahan kerjaya mereka di McDonald’s Brunei, selaras dengan Wawasan Brunei 2035 bagi melahirkan belia yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

    Dayang Hartini binti Haji Hussin yang merupakan Perunding Operasi Mc-
    Donald’s Brunei turut menceritakan perjalanannya bekerja di McDonald’s yang bermula sebagai krew pada tahun 1992.

    “Saya sendiri memulakan karier saya sebagai seorang krew di McDonald’s Brunei seawal usia saya 18 tahun, iaitu antara pengambilan yang terawal sekali menyertai McDonald’s Brunei pada tahun 1992.

    “Beberapa tahun selepas itu, saya dilatih menjadi seorang floor manager dan telah menghadiri kursus di negara jiran, Malaysia, bagi memastikan McDonald’s Brunei beroperasi setaraf dengan McDonald’s global.

    “Dua tahun selepas lantikan tersebut, saya dilantik menjadi penolong pengurus kedua, selama dua tahun dan kemudiannya menjadi penolong pengurus pertama selama dua tahun sebelum menjadi pengurus kedai selama 15 tahun.

    “Alhamdulillah, pada tahun 2021 saya diberikan kepercayaan untuk memangku jawatan perunding operasi sehingga ke hari ini. Sepanjang pengalaman saya berkhidmat bersama McDonald’s Brunei, pihak pengurusan sememangnya mementingkan kakitangannya untuk menimba ilmu lebih-lebih lagi daripada McDonald’s global, iaitu dengan menghadiri kursus-kursus dan McDonald’s Convention di luar negara, seperti Hong Kong, China, Indonesia dan baru-baru ini di Amerika Syarikat,” jelas Dayang Hartini.

    “Banyak pengalaman pahit manis dan suka duka, yang kami lalui bersama. Pengalaman seperti inilah yang menjadikan siapa kami sehingga ke hari ini. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dan menghargai segala peluang dan faedah yang diberikan oleh McDonald’s Brunei kepada kami selaku warga McDonald’s Brunei,” kongsi Dayang Hartini lagi.

    Pada masa yang sama beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat Makan Ceria Sdn Bhd, bekas-bekas ahli Lembaga Pengarah Syarikat Makan Ceria Sdn Bhd, dan para pegawai Syarikat Darussalam Assets yang telah banyak membimbing dan memberikan teguran dalam mengendalikan dan mentadbir syarikat berkenaan agar menjadi syarikat yang bernaung di bawah Syarikat Darussalam Assets yang boleh dibanggakan.

    Sementara itu, Pengurus Jabatan, Dayang Megawati binti Haji Abu Bakar dari cawangan McDonald’s Pandu Lalu Lambak mengongsikan bahawa beliau telah bekerja di McDonald’s sejak 30 tahun yang lalu ketika sedang menunggu keputusan peperiksaan O Level.

    “Saya bermula dari seorang krew, pelatih krew, penolong pengurus 1 sehinggalah menjadi pengurus jabatan.

    “Dari segi peluang perkembangan kerjaya di McDonald’s, peluang kerjaya sangatlah menggalakkan di mana banyak latihan telah diberikan di dalam restoran sehinggalah dihantar ke luar negera,” katanya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...