Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis – McDonald’s Brunei telah membuka cawangannya yang ketiga di Lambak yang juga merupakan cawangan pandu lalu kedua bagi restoran makanan segera berkenaan di Brunei.
Perasmian McDonald’s Lambak Drive-Thru, hari ini, telah disempurnakan oleh ahli-ahli Lembaga Pengarah Makan Ceria Sdn Bhd, Awang Azmi bin Abdul Rahman Ibrahim; Haji Yushadi Satria bin Dato Paduka Haji Hussain dan Haji Zulfadli Serudin bin Haji Yahya.
Majlis kemudian turut menyaksikan acara memotong kek yang disempurnakan oleh Haji Yushadi Satria yang juga merupakan Pengarah Makan Ceria Sdn Bhd.
Majlis kemudian diteruskan lagi dengan penyampaian sumbangan berjumlah $56,194.02 untuk Dana Pengiran Muda Makhota Al-Muhtadee Billah bagi Anak-anak Yatim (DANA) yang disempurnakan oleh Awang Azmi kepada Ketua Pegawai Eksekutif DANA, Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny.
Restoran dua tingkat berkenaan menampilkan reka bentuk abjad terkini dan penuh bergaya untuk memberikan ruang yang lebih besar kepada orang ramai selain turut menyediakan perkhidmatan McCafe, pandu lalu dan perkhidmatan penghantaran McDelivery. Bagi perkhidmatan penghantaran, McDelivery akan diumumkan pada masa akan datang. Cawangan ini mampu menampung kira-kira 300 orang pelanggan dan menyediakan ruang peribadi, tempat permainan, surau, bilik menukar lampin anak damit serta kawasan untuk penyusuan susu ibu.
Sempena dengan pembukaannya ini, para pelanggan dan kanak-kanak juga dimeriahkan lagi dengan penampilan Ronald McDonald pada sebelah pagi, manakala itu, pada sebelah petang, aktiviti Make Your Own Burger turut diadakan.
