NEW YORK, 16 MEI – Restoran makanan segera Amerika, McDonald’s akan keluar dari pasaran Rusia dan menjual perniagaannya di negara itu.
Kebanyakan perniagaan Barat telah menarik diri dari Rusia sejak serangannya ke atas Ukraine pada Februari.
McDonald’s pada Mac menutup kesemua 850 restorannya di negara tersebut, di mana ia menggaji 62,000 pekerja.
Namun hari ini ia berkata dalam satu kenyataan: “Selepas beroperasi lebih daripada 30 tahun di negara ini, McDonald’s Corporation mengumumkan ia akan keluar dari pasaran Rusia dan telah memulakan proses untuk menjual perniagaannya di Rusia.
“Krisis kemanusiaan berpunca daripada peperangan di Ukraine, dan persekitaran operasi yang tidak dapat diramalkan, telah mendorong McDonald’s membuat keputusan bahawa pemilikan perniagaan di Rusia tidak lagi berdaya tahan dan tidak konsisten dengan nilai-nilai McDonald’s.”
Menurut kenyataan lagi, ia menimbang menjual ‘keseluruhan portfolio restoran McDonald’s di Rusia kepada pembeli tempatan.’
Syarikat menambah selepas jualan, restoran itu tidak boleh menggunakan nama, logo, jenama atau pun menu McDonald’s.
Rusia, di mana McDonald’s menguruskan lebih daripada 80 peratus restoran yang menggunakan namanya, menyumbang kepada 9 peratus daripada pendapatan syarikat dan 3 peratus daripada keuntungan operasinya. – AFP
