SINGAPURA, 6 DIS — McDonald’s Singapura akan mula mengenakan caj kepada pelanggan untuk pek sos tambahan melebihi peruntukan standard bermula 2 Januari tahun depan, menurut pengumuman rangkaian makanan segera itu.
Di bawah polisi baharu itu, pek sos seperti BBQ, kari dan Honey Mustard akan dikenakan caj sebanyak AS$0.37 bagi setiap pek tambahan, manakala sos salad seperti Japanese Roasted Sesame akan dikenakan caj sebanyak $AS0.52 setiap pek.
Bagaimanapun, sos tomato dan cili bawang putih, dua pilihan asas, akan kekal percuma berdasarkan jumlah tetap yang diperuntukkan untuk setiap pesanan makanan, menurut kenyataan di laman webnya.
McDonald’s Singapura menjelaskan bahawa polisi itu bertujuan untuk ‘menguruskan pembaziran makanan dan kos makanan yang semakin meningkat,’ yang disifatkan sebagai ‘cabaran berterusan’ dalam industri makanan dan minuman.
Media tempatan melaporkan polisi mengenakan caj untuk sos tambahan tersebut telah lama berkuat kuasa tetapi jarang dikuatkuasakan sebelum ini.

Seorang kakitangan di sebuah cawangan di pusat Singapura mengesahkan kepada Xinhua bahawa para pelanggan masih boleh meminta sos tambahan secara percuma buat masa ini tetapi ‘tidak lagi tahun depan.’ Sos tomato dan cili bawang putih kekal disediakan tanpa had melalui dispenser layan diri di dalam kedai.
Untuk memaklumkan pelanggan, poster telah diletakkan di kaunter pengambilan dengan slogan, SUKA SOS KAMI? TAMBAH LAGI HANYA SGD0.50 SETIAP SATU, bersama kod QR yang memautkan maklumat lanjut mengenai polisi tersebut.
Pengumuman itu menerima pelbagai reaksi.
Sesetengah pelanggan menyuarakan rasa tidak puas hati, memetik harga McDonald’s yang sudah dianggap tinggi.
Syarikat itu turut menambah bahagian maklum balas di laman webnya untuk menangani kebimbangan pelanggan yang tidak berpuas hati dengan perubahan itu. — Xinhua