Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – McDonald’s Brunei dengan rasminya membuka cawangan kelimanya di negara ini yang terletak di Sungai Tilong, yang mencerminkan komitmennya untuk menggabungkan inovasi dan tradisi.
Perasmiannya telah disempurnakan oleh Ketua Unit Perniagaan Asia McDonald’s, Thomas Ko dan Pengerusi Makan Ceria Sdn Bhd, Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Makan Ceria, Haji Yushadi Satria bin Dato Paduka Haji Hussain dan Pengarah Makan Ceria, Haji Ahmad Fahruddeen bin Haji Mohd Azrae, serta perwakilan Kedutaan Amerika Syarikat, Stacy Lomba.
Pengurus Besar McDonald’s Brunei, Awang Al-Fatah bin Haji Seruji dalam ucapannya antara lain menghargai sumbangan serta komitmen pasukan McDonald’s Brunei dalam membantu memantapkan operasi serta memberikan kecemerlangan terhadap McDonald’s di negara ini yang telah bertapak sejak lebih 30 tahun yang lalu.
Majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan beberapa persembahan tradisional dan diakhiri dengan lawatan ke cawangan tersebut.
Ketua Pembangunan Perniagaan Kanan, Awang Syafiq Metassan berkongsi keghairahannya mengenai pembukaan besar itu dengan menyatakan bahawa McDonald’s Sungai Tilong itu mewakili komitmen mereka dalam mengembangkan jejak terutamanya di kawasan strategik utama di Brunei yang dihasratkan dapat memberikan khidmat kepada masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pemasaran McDonald’s, Dayang Filah Salleh turut menyatakan keterujaannya untuk memperkenalkan Tandem Order Drive Thru kepada pelanggan.
Menurutnya, inovasi luar biasa itu menekankan komitmen mereka untuk meningkatkan kelajuan dan kecekapan perkhidmatan sambil mengekalkan kualiti di McDonald’s.