Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    McDonald’s tamatkan ujian khidmat pandu-lalu AI dengan IBM

    NEW YORK, 23 JUN – McDonald’s mengesahkan akan menamatkan perkongsian global dengan IBM yang telah menguji teknologi kecerdasan buatan (AI) di perkhidmatan pandu lalu McDonald’s yang terpilih sejak 2021.

    Walaupun perkongsian IBM untuk ujian pengambil pesanan automatik McDonald’s akan berakhir, syarikat itu memberitahu bahawa ia tidak menolak rancangan pandu lalu AI yang berpotensi pada masa hadapan.

    “Perkongsian kami dengan IBM telah memberi kami keyakinan bahawa penyelesaian pesanan suara untuk pandu lalu akan menjadi sebahagian daripada masa depan restoran kami,” kata McDonald’s dalam satu kenyataan yang keluar minggu ini, sambil menambah bahawa ia akan meneruskan penilaian untuk ‘membuat keputusan yang lebih tepat mengenai penyelesaian pesanan suara pada masa hadapan menjelang akhir tahun ini.’

    Kejayaan perkhidmatan pandu lalu berkuasa AI adalah tidak menentu. Pengambil pesanan automatik McDonald’s dengan IBM menerima banyak aduan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, contohnya ramai yang menggunakan media sosial untuk merakam bot sembang yang salah faham pesanan mereka.

    Satu hantaran TikTok 2023 menunjukkan pembantu pandu lalu membuat pesanan demi pesanan nuget ayam McDonald’s walaupun pelanggan memintanya berhenti. Hantaran tambahan menunjukkan pelbagai insiden lain seperti pesanan tambahan yang pelik, contohnya ais krim dengan sos tomato dan mentega, atau mengambil pesanan daripada kereta lain yang berdekatan.

    McDonald’s enggan mengulas mengenai ketepatan penerima pesanan automatik itu. Dalam satu kenyataan awal, IBM berkata bahawa ‘teknologi ini terbukti mempunyai beberapa keupayaan yang paling komprehensif dalam industri, cepat dan tepat dalam beberapa keadaan yang paling mencabar,’ tetapi tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas lanjut tentang perkara yang khusus. – AP

    Sebuah restoran McDonald’s dilihat di Ridgeland, Mississippi pada Februari 2018. McDonald’s mengesahkan pada 18 Jun bahawa ia telah memutuskan untuk menamatkan ujian AI dengan IBM. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda