AUGUSTA, 14 APRIL – Rory McIlroy melengkapkan karier Grand Slam dengan kemenangan dramatik di Kejohanan Masters selepas menewaskan Justin Rose menerusi birdie dari jarak 1.2 meter di lubang pertama playoff, kelmarin.
Pemain nombor dua dunia itu menamatkan kemarau 11 tahun tanpa kejuaraan utama meskipun beberapa kali kehilangan kedudukan pendahulu sebanyak tiga kali pada pusingan akhir dan tidak dapat menahan air mata selepas berjaya meraih jaket hijau yang sekian lama diimpikannya.
“Ia satu perasaan yang luar biasa,” kata McIlroy. “Ini adalah kali ke-17 saya di sini. Saya tertanya-tanya sama ada giliran saya akan tiba. Saya sangat teruja dan bangga kerana kini boleh menggelar diri saya sebagai juara Masters.”
McIlroy kini menyertai barisan legenda seperti Jack Nicklaus, Tiger Woods, Gary Player, Gene Sarazen dan Ben Hogan sebagai satu-satunya pemain yang pernah memenangi keempat-empat kejohanan utama.
“10 tahun kebelakangan ini saya datang ke sini dengan beban Grand Slam di bahu saya dan cuba mencapainya. Saya tertanya-tanya, apa pula yang akan kita bincangkan menjelang Masters tahun depan,” tambahnya.

McIlroy hanya memerlukan par di lubang ke-72 untuk menang, namun pukulan keduanya di par-4 lubang ke-18 mendarat di dalam bunker sebelah green.
Dia berjaya keluar dari bunker ke jarak lima kaki, tetapi gagal menyempurnakan pukulan par yang penuh tekanan itu apabila bola melencong ke kiri lubang, disambut dengan keluhan kecewa daripada penonton.
“Pertarungan saya hari ini adalah dengan diri sendiri,” katanya. “Bagaimana saya bertindak balas terhadap cabaran, itulah yang akan saya kenang pada minggu ini.”
Kegagalan itu membawa kepada penentuan mengejut di lubang ke-18, yang mana Rose telah melakukan birdie sejauh 20 kaki dalam saingan biasa.
Rose memulakan pukulan keduanya kira-kira 15 kaki dari lubang, namun McIlroy membalas dengan pukulan kedua yang lebih tepat, mendarat hanya empat kaki dari pin.
Ketegangan semakin memuncak apabila bola Rose tersasar ke kanan lubang dan hanya melakukan par, sekali gus memberikan McIlroy peluang kedua untuk mencipta sejarah.
Kali ini, pukulan McIlroy tepat dan ketika sorakan bergema selepas tamat permainan, McIlroy memegang kepalanya, melutut di green ke-18 sambil mengalirkan air mata.
“Banyak emosi yang terpendam keluar di green ke-18 itu. Saya telah lama bermimpi tentang detik itu,” ujar McIlroy. – AFP