Saturday, March 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    McIlroy enggan ulas isu rampas telefon bimbit

    MIAMI, 14 MAC – Rory McIlroy berdiam diri kelmarin mengenai insiden semasa sesi latihan di Kejohanan The Players, di mana dia merampas telefon seorang pengkritik, yang kemudiannya meminta maaf kepada juara kejohanan utama empat kali itu.

    Pelajar tahun tiga Universiti Texas, Luke Potter, hadir untuk sesi latihan pada Selasa di TPC Sawgrass, sehari selepas memenangi kejohanan kolej pertamanya di John Hayt Invitational yang diadakan di Sawgrass Country Club, menurut Golf.com.

    Potter berada di belakang dan di sebelah kiri green ke-18 apabila McIlroy memukul tee ke dalam air dan kemudian, menurut Golf Channel dan Golf.com, Potter menjerit satu komen mengenai Masters 2011.

    Sebuah video di X menunjukkan McIlroy pergi ke arah Potter selepas pukulan tee kedua dan merampas telefon bimbitnya.

    Potter diiringi keluar dari kawasan itu beberapa saat kemudian dan telefon bimbitnya dikembalikan, menurut Golf.com.

    Reaksi Rory McIlroy memerhatikan pukulan tee di lubang ke-15 semasa pusingan pertama Kejohanan The Players kelmarin. – AP

    “Saya hanya buat kesilapan dan saya bertanggungjawab atasnya,” kata Potter kepada The Golf Channel. “Saya memohon maaf. Itu sahaja yang perlu dikatakan… Ini hanya pengalaman pembelajaran yang baik. Ya, saya memohon maaf.”

    Potter memanggil McIlroy ‘pemain yang hebat’ dan menambah, “Saya harap yang terbaik untuknya.”

    Ditanya tentang insiden tersebut selepas pusingan pembukaannya dengan lima bawah par 67 pada hari Khamis, yang meletakkannya satu pukulan di belakang pendahulu, McIlroy enggan mengulas.

    Apabila seorang wartawan bertanya, “Bolehkah saya bertanya tentang kejadian dengan budak itu?” McIlroy menjawab, “Tidak, awda tidak boleh.” Ditanya mengapa tidak, McIlroy berkata, “Kerana saya tidak mahu awda berbuat demikian.”

    Ditanya lagi mengenai perkara itu, McIlroy menjawab, “Saya benar-benar gembira kerana saya mencatatkan 67 hari ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda