WASHINGTON, 13 MEI – Rory Mcilroy mempamerkan aksi cemerlang pada sembilan lubang terakhir ketika dia melakar kemenangan di Kejohanan Wells Fargo di Quail Hollow, kelmarin selepas mencatatkan sembilan di bawah par 65 pada pusingan terakhir.
Mcilroy memulakan aksi satu pukulan di belakang Xander Schauffele dan mengekorinya dengan ketinggalan dua pukulan selepas pemain Amerika Syarikat (AS) itu membuat eagle di lubang ketujuh.
Bagaimanapun, selepas itu pemain nombor dua dunia itu mempamerkan aksi sensasi apabila dia memintas Schauffele, bermain lapan lubang terakhir dengan catatan lapan di bawah par, termasuk melakukan dua eagle.
“Saya hanya meneruskan rentak, tidak kira atas sebab apa sekali pun, saya mampu beraksi cemerlang di lapangan golf ini,” ujar McIlroy selepas kemenangan keempatnya di Quail Hollow, di mana dia menikmati kemenangan pertama daripada 26 kemenangan Jelajah PGA sebagai pemain berusia 20 tahun pada 2010.
Pusingan itu hanya sedikit terganggu oleh double bogey pada lubang ke-18, di mana dia mendapati bola terkena air di luar green, tetapi McIlroy masih lagi menjadi pemain yang melakukan pukulan terendah.
Selepas kemenangannya di acara berpasukan Klasik Zurich New Orleans bulan lalu, bersama Shane Lowry, McIlroy kini menuju ke kejuaraan utama kedua musim ini, Kejuaraan PGA di Valhalla dengan kemenangan berturut-turut.
McIlroy belum memenangi kejuaraan utama sejak merangkul kejuaraan keempat di Valhalla 10 tahun lalu tetapi dia kini berada dalam suasana yang sangat baik.
“Ayunan saya berasa jauh lebih selesa daripada yang pernah dilakukan, jadi pergi ke venue minggu depan di mana saya pernah mencatat kemenangan, rasanya seperti mempunyai kelebihan,” kata pemain berusia 35 tahun itu. – AFP