LOS ANGELES, 26 OGOS – Rory McIlroy muncul juara Kejohanan Jelajah PGA dan membawa pulang hadiah wang tunai terkumpul AS$15juta Piala FedEX selepas melakukan 66 pukulan, empat di bawah par pada hari terakhir pertandingan itu.
Bintang Ireland Utara itu muncul juara kedua-dua gelaran itu buat kali kedua selepas 2016 ketika pemain No.1 dunia, Brooks Koepka gagal beraksi cemerlang di Atlanta’s East Lake Golf Course.
McIlroy menamatkan kejohanan itu dengan catatan 18 di bawah par secara keseluruhan, empat pukulan mengatasi Xander Schauffele yang meraih 70 pukulan untuk mengumpul 14 di bawah par.
McIlroy kini menyertai Tiger Woods selepas menjadi satu-satunya pemain yang berjaya merangkul kejuaraan itu buat kali kedua.
McIlroy menyifatkan kejayaan itu sebagai sesuatu yang sangat indah terutama selepas gagal beraksi cemerlang tahun lalu apabila dia melakukan catatan 74 pukulan, empat di atas par pada hari terakhir yang membolehkan Woods muncul juara.
“Saya tidak gembira ketika melangkah ke lubang 18 tahun lalu. Saya beraksi dengan teruk, saya berada dalam kumpulan terakhir tetapi saya tidak pernah berpeluang untuk berdepan Woods.
“Berdepan pemain No.1 dunia hari ini (Koepka), dia pernah menewaskan saya di Memphis dan saya mahu melunaskan dendam itu hari ini.
“Beraksi bersama Brooks dan menang Piala FedEX adalah luar biasa. Banyak perkara luar biasa boleh berlaku dalam tempoh setahun,” kata McIlroy. – AFP
