WASHINGTON, 2 Mei – Selepas mempamerkan aksi hambar ketika di Masters Amerika Syarikat (AS), Rory McIlroy akan mengubah cara hayunannya dan berharap kepulangannya ke lapangan digemari Quail Hollow minggu ini mampu membantunya meraih gelaran utama pada Kejuaraan PGA.
Bintang Ireland Utara itu antara pemain pilihan pada Kejuaraan Wells Fargo bermula hari ini di Charlotte, North Carolina.
Lapangan yang menyaksikan dia menang dengan dua rekod lapangan iaitu catatan 62 pukulan pada pusingan akhir 2010 membantunya meraih kejuaraan PGA AS sulung dan 61 pukulan pada pusingan ketiga 2015.
“Ia memang lapangan yang mana saya tidak sabar untuk hadir setiap tahun. Lapangan ini dalam keadaan hebat. Saya teruja untuk bermain sekali lagi selepas beberapa minggu berehat.
“Agak sibuk selepas ini dan saya harap dapat bermula dengan pencapaian membanggakan minggu ini,” kata McIlroy.
McIlroy, yang akan menyambut hari jadi ke-30 Sabtu ini, berkongsi tangga ke-21 pada Masters AS di Augusta National bulan lalu, terlepas satu lagi peluang untuk melengkapkan Grand Slam dalam kariernya.
Menggunakan video hayunannya pada Masters ketika berehat dua minggu, McIlroy membaiki permainannya bersama jurulatih Michael Bannon dan membuat sedikit ubah suai teknik hayunannya.
“Satu daripada perkara bagus mengenai rehat dua minggu anda mempunyai masa untuk membaiki beberapa perkara.
“Cuba mendalaminya sebaik mungkin dan mengamalkan beberapa teknik dan kini berasa bagus mengenainya,”jelasnya. – AFP
