Wednesday, March 19, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    McIlroy menang Players Championship

    MIAMI, 18 MAC – Pemain golf dari Ireland Utara, Rory McIlroy, meraih kemenangan pada Hari St. Patrick di Players Championship kelmarin, selepas menewaskan J.J. Spaun dalam pusingan playoff di TPC Sawgrass, Florida.

    Juara utama empat kali itu menamatkan pertarungan tiga lubang dengan satu atas par, manakala cabaran Spaun musnah selepas melakukan triple-bogey yang malang di lubang kedua playoff.

    “Ini kali ketiga saya menang pada Hari St. Patrick, jadi ini sememangnya pembawa tuah buat saya,” kata McIlroy selepas meraih gelaran Players Championship keduanya dan kejuaraan PGA Tour ke-28 dalam kariernya.

    “Saya cukup bertuah kerana berjaya melakukannya. Saya sangat bangga dan gembira dapat memenangi gelaran kedua Players ini… Ia satu perasaan yang sangat indah,” tambahnya.

    “Malam tadi saya pulang ke rumah dengan perasaan ‘Saya sepatutnya sudah memenanginya.’ Namun, saya cuba bertenang dan menetapkan semula fokus.

    Walaupun tidak mendapat tidur yang nyenyak, saya tetap berusaha dan akhirnya berjaya menamatkannya dengan kemenangan.”

    McIlroy dan Spaun menamatkan pusingan akhir pada Ahad dengan jumlah pukulan yang sama selepas cuaca buruk melanda. McIlroy yang pada satu ketika mendahului dengan tiga pukulan dalam baki lima lubang terakhir, gagal mengekalkan kelebihan itu.

    Namun, dalam cuaca cerah dan berangin pada Isnin, McIlroy tidak mengulangi kesilapan sebelumnya. Dia segera menguasai playoff dengan melakukan pukulan pertama yang cemerlang di lubang ke-16 (par-5), menghantar bola sejauh 336 ela ke tengah fairway sebelum menghantar bola ke green dalam dua pukulan.

    Sebaliknya, Spaun bergelut sejak awal apabila pukulan pertamanya tersasar ke kawasan rough sebelum pukulan keduanya berakhir di bunker tepi green.

    McIlroy terlepas peluang eagle dari jarak 33 kaki tetapi dengan tenang memasukkan putt lima kaki untuk birdie, manakala Spaun hanya mampu melakukan par. – AFP

    Rory McIlroy dari Ireland Utara meraikan kemenangannya pada majlis penyampaian trofi selepas menewaskan J.J. Spaun dalam pusingan playoff Players Championship pada 17 Mac. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda