PORTRUSH, 15 JULAI – Rory McIlroy menegaskan bahawa kepulangannya ke Royal Portrush untuk Terbuka British minggu ini tidak akan mengalih perhatiannya daripada misi memburu gelaran.
Ini merupakan kali kedua pemain dari Ireland Utara itu bertanding di negaranya sendiri dalam kejohanan Terbuka British, selepas kali pertama ia dianjurkan di Royal Portrush pada tahun 2019.
Ketika itu, pemain nombor dua dunia itu cuba menutup segala gangguan berikutan kepulangan kejohanan tersebut ke Portrush selepas ketiadaan selama 68 tahun lapangan yang sama di mana dia mencipta rekod padang dengan catatan 61 pukulan ketika berusia 16 tahun.
Namun, McIlroy bergelut untuk mengawal emosi apabila menerima sokongan luar biasa daripada peminat tempatan, dan akhirnya gagal melepasi ‘cut’ hanya dengan perbezaan satu pukulan.
“Saya masih ingat sorakan yang saya terima di tee pertama pada Khamis, dan saya tidak bersedia dengan perasaan yang muncul ketika itu,” kata pemain berusia 36 tahun itu kepada wartawan kelmarin.
“Saya agak terkejut dan tergamam. Saya terfikir, ‘Mereka benar-benar mahu saya menang’. Dan itu datang dengan tekanan tersendiri lebih kepada tekanan dalaman kerana saya tidak mahu mengecewakan mereka.
“Saya belajar dengan cepat bahawa cabaran terbesar saya, terutama dalam minggu seperti ini, adalah mengawal diri sendiri dan pertarungan dalaman itu.
“Saya rasa pada tahun 2019 saya cuba mengasingkan diri, tetapi saya fikir adalah lebih baik untuk saya jika saya merangkul dan menerima suasana itu. Ia lebih baik untuk semua pihak, dan juga untuk diri saya walaupun saya kadang-kadang bergelut untuk menerima pujian.”
Pemenang lima kejuaraan utama itu sebelum ini mengakui berdepan masalah motivasi selepas melengkapkan Grand Slam kariernya menerusi kemenangan dramatik di Masters pada April lalu.
McIlroy menjadi pemain keenam dalam sejarah yang memenangi keempat-empat kejuaraan utama selepas menewaskan Justin Rose dalam perlawanan play-off di Augusta.
Selepas prestasi hambar susulan kejayaan bersejarah itu, pemain itu kini berharap keputusan naib juara bersama di Kejohanan Terbuka Scotland minggu lalu akan menjadi titik lonjakan untuk memburu kejuaraan di Royal Portrush.
“Saya cukup bersemangat dengan cara saya bermain dalam dua kejohanan terakhir, terutama sekali minggu lalu di Scotland,” katanya. – AFP