FUKUOKA, JEPUN, 31 JULAI – Kejohanan Renang Dunia menyaksikan Amerika Syarikat (AS) menyusun semula kedudukan dengan meraih tiga pingat emas pada malam akhir acara tersebut, manakala remaja hebat dari Kanada, Summer McIntosh, terus menunjukkan bakat cemerlangnya dengan meraih gelaran kedua.
Pasukan AS memulakan hari terakhir kejohanan di Fukuoka dengan hanya empat pingat emas, dan tiada peluang untuk mengejar pendahulu, Australia, di puncak kedudukan pingat. Namun, semangat juang tak terpadam muncul apabila Hunter Armstrong yang meraih kemenangan dalam acara 50m kuak lentang lelaki. Kejayaan AS berlanjutan dengan kemenangan dalam acara berganti-ganti campuran 4×100 meter lelaki dan wanita, menyudahkan malam tersebut dengan penuh kegemilangan.
“Prestasi ini merupakan titik tertinggi,” kata atlet renang acara berganti-ganti wanita, Regan Smith.
“Membawa pulang pingat emas untuk Pasukan AS dalam acara terakhir sangat bermakna bagi saya dan kita semua,” jelasnya.
Summer McIntosh, yang berusia 16 tahun, memenangi acara 400m rampaian individu, menambah satu lagi gelaran selepas meraih kejuaraan acara 200m gaya kupu-kupu awal minggu ini. Sementara itu, Sarah Sjostrom dari Sweden turut meraih emas kedua dalam acara 50m gaya bebas wanita, manakala Ruta Meilutyte dari Lithuania mencatatkan rekod dunia baharu dalam acara 50m kuak dada wanita.
Dalam acara 1,500m gaya bebas juga menyaksikan kemenangan cemerlang Ahmed Hafnaoui dari Tunisia.
Prestasi cemerlang membawa Australia ke puncak kedudukan pingat dengan 13 emas, menyamai rekod terbaik mereka. Namun, prestasi cemerlang AS memberikan mereka tujuh emas untuk mengatasi China yang hanya mengutip lima emas. AS menamatkan dengan pingat terbanyak secara keseluruhan, menewaskan Australia 38 berbalas 25. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P23-A-AFP_01082023.jpg)