BAKU, 13 SEPT – McLaren bersedia untuk memberi keutamaan kepada Lando Norris berbanding rakan sepasukannya, Oscar Piastri, dalam baki lapan perlumbaan Formula 1 (F1) musim ini, selepas peluang Norris untuk merebut gelaran sedikit terjejas akibat kehilangan kedudukan pendahulu kepada Piastri dalam perlumbaan di Itali.
Norris memasuki hujung minggu Grand Prix Azerbaijan dengan 62 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Max Verstappen, namun membawa momentum yang lebih positif.
Verstappen kini melalui enam perlumbaan tanpa kemenangan ketika dia bergelut dengan kereta Red Bull yang digambarkannya sebagai ‘monster’.
“Kami tidak mengklasifikasikannya sebagai nombor satu dan dua dan saya tidak fikir kami akan melakukannya. Tetapi dari segi proses kami, terdapat kecenderungan untuk membantu saya,” kata Norris kelmarin.
Norris memulakan perlumbaan terakhir di Itali dari posisi petak utama tetapi dipintas oleh Piastri, membuka peluang kepada Charles Leclerc dari Ferrari untuk mendahului Norris bagi tempat kedua. Leclerc akhirnya memenangi perlumbaan, dengan Piastri di tempat kedua dan Norris di tempat ketiga.
Walaupun terdapat batasan mengenai sejauh mana Piastri diharapkan membantu Norris, Norris menegaskan dia tidak mahu ‘diberikan’ gelaran, namun butiran lanjut masih tidak jelas.
“Kedudukan kedua dan ketiga (seperti di Monza) mungkin akan ditukar. Secara umum, dia akan membantu saya mungkin untuk kedudukan lebih rendah. Tetapi jika dia berjuang untuk menang dan layak untuk menang, dia berhak untuk menang,” tambah Norris. – AP