PUTRAJAYA, 29 APRIL – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang membangunkan menara telekomunikasi baharu di 742 lokasi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar Sarawak bermula tahun ini di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sebagai usaha menaik taraf liputan internet.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan hari ini, daripada jumlah itu, 106 menara mula dibangunkan bulan ini dan baki pembinaan di 636 lokasi dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.
Kesemua 742 menara telekomunikasi baharu itu dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2022 dengan penawaran perkhidmatan 4G, katanya.
MCMC berkata 1,283 stesen pemancar telah siap dinaik taraf dengan perkhidmatan 4G pada tahun lepas dan sejumlah 1,606 stesen pemancar lagi sedang dalam proses penaiktarafan bermula tahun ini.
“Di bawah inisiaitif JENDELA juga, MCMC turut membangunkan inisiatif penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui satelit yang sejumlah 523 lokasi telah dikenal pasti di Sarawak dan kini sedang di peringkat penilaian tender,” kata MCMC.
Bagi projek jalur lebar talian tetap pula, MCMC menyasarkan sejumlah 43,013 premis di Sarawak akan tersedia dengan akses kepada infrastruktur gentian optik bagi membolehkan perkhidmatan jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi. – Bernama