Friday, July 5, 2024
29 C
Brunei

    -

    MCMC bangunkan garis panduan maklumat, keselamatan rangkaian

    CYBERJAYA, 3 JULAI – Garis panduan baharu mengenai keselamatan maklumat dan rangkaian untuk industri komunikasi dan multimedia sedang dibangunkan bagi melindungi pengguna Internet selaras dengan usaha Malaysia menuju masa depan digital.

    Dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak berkepentingan berkaitan, garis panduan itu akan meningkatkan standard keselamatan siber, mengutamakan keselamatan awam dan menyerlahkan keperluan minimum audit piawaian keselamatan siber yang menumpukan kepada melindungi orang ramai.

    Ahli MCMC, Derek John Fernandez berkata garis panduan semasa tidak ‘berkesan sepenuhnya’ dan garis panduan baharu akan memberi manfaat kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi, pusat data dan paling utama ialah orang ramai.

    “Piawaian semasa menggunakan istilah ‘usaha terbaik’, jadi kita mesti menentukan maksudnya. Ia melibatkan pengurusan organisasi, menilai ancaman, melindungi pelanggan, dan memastikan mereka tidak terdedah kepada risiko penipuan,” katanya kepada Bernama.

    Fernandez berkata pendigitalan telah memperkasakan penjenayah siber, justeru beliau menekankan keperluan untuk melindungi golongan yang paling terdedah.

    “Kita perlu melindungi rakyat, pengguna perkhidmatan dan pelanggan telefon. Penyedia perkhidmatan sering menganggap teknologi, perkakasan dan perisian mereka sebagai aset tetapi mengabaikan kepentingan pelanggan mereka,” katanya.

    Semalam, Fernandez menghadiri satu sesi taklimat mengenai draf garis panduan itu yang merangkumi kira-kira 40 syarikat perkhidmatan keselamatan siber, perakaunan dan firma pengurusan risiko.

    Beliau berkata taklimat awal itu menjanjikan dan menyebut bahawa lebih banyak penglibatan dirancang dengan pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Digital, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA).

    Selain itu, garis panduan ini bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan menangani ancaman keselamatan siber dengan berkesan termasuk penipuan, kesalahan berkaitan perisian tebusan, bahan penderaan seksual kanak-kanak dan sebarang pelanggaran kepada undang-undang Malaysia. – Bernama

    Derek Fernandez semasa berucap dalam taklimat “Garis Panduan Mengenai Keselamatan Maklumat Dan Rangkaian Untuk Industri Komunikasi Dan Multimedia” di Pusat Kecemerlangan MCMC hari ini. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ keluarkan panduan penggunaan peranti di sekolah

    WELLINGTON, 5 JULAI - Memandangkan kanak-kanak New Zealand (NZ) mencatat kadar penggunaan peranti tertinggi di dunia, garis panduan baharu untuk membantu mengimbangi risiko kesihatan...