TAWAU, 11 MEI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan projek penghantaran ubat-ubatan menggunakan dron pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 Mei di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
Dron berkenaan antara yang menjadi tarikan utama di reruai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai projek berimpak tinggi kepada komuniti khususnya di pedalaman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyempurnakan majlis penutupan PMR 2025 Sabah hari ini turut berkesempatan mengunjungi reruai NADI dan menyaksikan dron berkenaan.
Komunikasi Korporat MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif penghantaran ubat ke NADI menggunakan dron itu bakal dilaksanakan bersama Kementerian Kesihatan selaku rakan utama dan rakan strategik seperti MRANTI serta penyedia teknologi dron tempatan.
“Inisiatif ini adalah projek perintis bagi membuktikan keberkesanan kaedah penghantaran ubat di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman dari Klinik Kesihatan ke NADI terpilih.
“Inisiatif ini juga bagi mempercepatkan akses ubat kepada komuniti di kawasan sukar dihubungi termasuk kawasan pulau, pedalaman dan lokasi yang tidak mempunyai jalan perhubungan yang baik,” menurut kenyataan itu. – Bernama
