Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    MCMC, SDEC meterai perjanjian percepat kesalinghubungan digital di Sarawak

    KUCHING, 9 JULAI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) hari ini memeterai perjanjian pembiayaan Perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN) Multi-Operator Core Network (MOCN) bagi mempercepat kesalinghubungan digital di Sarawak menerusi pelaksanaan Projek SMART600.

    Menurut kenyataan bersama di Putrajaya hari ini, kerajaan Sarawak melalui SDEC, selaku peneraju pelaksanaan inisiatif berkenaan akan membiayai perbelanjaan modal (CAPEX) yang diperlukan untuk pembinaan menara telekomunikasi baharu.

    MCMC bersama pengendali rangkaian mudah alih (MNO) terlibat, iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications pula akan membiayai perbelanjaan operasi (OPEX) projek berkenaan.

    “Model pembiayaan bersama ini memastikan menara-menara di kawasan pedalaman Sarawak dapat terus beroperasi walaupun berdepan dengan cabaran geografi dan ekonomi,” menurut kenyataan itu.

    Perjanjian berkenaan dimeterai di ibu pejabat MCMC hari ini disaksikan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Datuk Sudarnoto Osman. Menurut kenyataan itu, 587 menara telekomunikasi mudah alih 4G telah siap dibina dan 431 daripadanya diaktifkan dengan teknologi canggih MOCN manakala selebihnya akan diaktifkan secara berperingkat.

    Di bawah Projek SMART600, sebanyak 600 menara komunikasi disasarkan dibina di Sarawak dalam dua fasa, iaitu sebanyak 300 menara untuk setiap fasa.

    Projek itu dilaksanakan bagi menyediakan perkhidmatan mudah alih 4G yang berkualiti tinggi kepada lebih 1,000 lokasi luar bandar dan dijangka memanfaatkan lebih kurang 180,000 komuniti di Sarawak. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda