KUALA LUMPUR, 4 JULAI – Bertujuan merancakkan ekonomi digital Malaysia, kerajaan membangunkan Malaysia Digital (MD) berpandukan tiga prinsip utama, Fleksibiliti, Ketangkasan dan Relevansi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata MD menerusi projek Mangkin MD atau PEMANGKIN akan berfungsi secara holistik dalam mentransformasikan ekosistem ekonomi digital Malaysia menerusi tiga keutamaan strategik.
“Pertama, membantu memacu adaptasi digital dalam kalangan usahawan muda, syarikat dan rakyat; kedua, menyokong syarikat teknologi tempatan untuk menjadi ‘Juara Malaysia’ berjaya di peringkat antarabangsa; dan ketiga, menarik pelaburan bernilai tinggi,” katanya ketika berucap melancarkan MD dan Sambutan Jubli Perak MDEC di sini hari ini. Turut hadir Menteri K-KOMM, Tan Sri Annuar Musa.
Ismail Sabri berkata pada peringkat awal, dua PEMANGKIN akan diperkenalkan iaitu program DE Rantau dan Digital Trade.
Katanya program DE Rantau bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab nomad digital pilihan di rantau ini melalui peningkatan penggunaan digital, mobiliti profesional digital dan aktiviti pelancongan di seluruh negara.
“Aktiviti nomad digital di dalam Malaysia akan memberi kesan limpahan yang bukan sahaja membantu memulihkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik, malah akan merancakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi tempatan di samping membuka peluang perkongsian pengetahuan serta pengalaman bersama komuniti setempat,” katanya.
Katanya, program Digital Trade pula akan memacu e-dagang dan adaptasi digital oleh perniagaan, memudahkan perdagangan merentas sempadan selain menyokong pergerakan data antara perniagaan untuk meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kebolehpercayaan transaksi merentas sektor dan industri.
Beliau berkata menerusi penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), program ini akan mempermudah jangkauan lebih luas ke pasaran global seterusnya memberi manfaat besar kepada perniagaan tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Perdana menteri berkata bagi memastikan pelaksanaan MD lebih berkesan, Kabinet telah bersetuju agar K-KOMM menubuhkan Jawatankuasa Koordinasi Malaysia Digital (MD-CC) untuk menyelaraskan tadbir urus dan operasinya termasuk penganugerahan Status MD.
Seterusnya, beliau menyarankan pihak MDEC mewujudkan satu platform khusus untuk memberi peluang kepada pemain industri agar dapat mengambil bahagian secara berterusan dan memberikan maklum balas yang wajar sepan-jang pelaksanaan MD. – Bernama