Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mdec ramal perniagaan dalam talian jadi pilihan

    KUALA LUMPUR, 29 MEI – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjangkakan perubahan tingkah laku pengguna dan perniagaan tempatan daripada kaedah konvensional kepada dalam talian akan berkekalan meskipun selepas COVID-19 berakhir.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya Surina Shukri berkata pemain utama sektor e-dagang akan memanfaatkan keupayaan digital untuk meningkatkan kehadiran mereka di luar talian dan seterusnya mengembangkan ekosistem e-dagang mereka. “Transformasi digital akan bergerak pantas. Perniagaan pula telah mengambil langkah proaktif dengan menyertai e-dagang untuk kekal bertahan,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata MDEC akan terus komited untuk mempercepatkan pengadaptasian e-dagang dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro tempatan menerusi program eUsahawan dan Go-eCommerce dan seterusnya memupuk rakyat ke arah mahir digital dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

    Tambah beliau, sejak program eUsahawan diperkenalkan pada 2015, MDEC telah melatih lebih 330,000 usahawan mikro dan muda sehingga 2019 manakala kira-kira 26,000 usahawan mikro telah dilatih pada tahun ini.

    Mengenai produk atau perkhidmatan yang dapat diketengahkan usahawan bagi menembusi pasaran luar negara, Surina berkata antara yang boleh dipertimbangkan adalah produk kosmetik, kesihatan, makanan, minuman, pakaian dan cenderahati.

    Bagaimanapun, beliau berkata para usahawan perlu meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan supaya dapat menembusi pasaran eksport dengan lebih mudah. Menurutnya, antara usaha dan inisiatif yang dirancang MDEC untuk membantu PKS dan usahawan tempatan menembusi pasaran eksport ialah ShopeeSG bagi meneroka pasaran Singapura melalui platform e-dagang, Shopee. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda