BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Jerudong Park Country Club Sdn Bhd (JPCC), kelmarin, telah mengadakan Majlis Pelancaran Besar-besaran Medan Selera JP Fasa 2 bagi meraikan pembinaan semula medan selera tersebut selepas insiden kebakaran pada 2021.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancaran ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid selaku Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Assets Sdn Bhd; Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab selaku Pengerusi Syarikat JPCC; Timbalan Setiausaha Tetap I di KSSUP, Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi; Timbalan Setiausaha Tetap II di KSSUP, Hajah Dahliana binti Haji Aliakbar; Ketua Pegawai Urusan Korporat Darussalam Assets Sdn Bhd, Hajah Rahayu binti Dato Paduka Haji Abdul Razak serta ahli-ahli Lembaga Pengarah JPCC, termasuk pengurus am, pihak pengurusan serta kakitangan JPCC.
Hajah Tutiaty dalam ucapan menekankan bahawa majlis pelancaran itu menandakan peristiwa penting dalam sejarah dan perjalanan Jerudong Park sebagai salah satu mercu tanda Brunei Darussalam.
Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih atas usaha semua pihak berkepentingan dan kakitangan JPCC dalam pemulihan medan selera tersebut.
Menurutnya, pembukaan semula Medan Selera JP Fasa 2 berfungsi sebagai salah satu asas dalam pertumbuhan bagi menyokong perniagaan tempatan dan merangsang kerjasama dan keusahawanan. Ia juga merupakan penghidupan semula tempat untuk pelawat-pelawat menjalin hubungan silaturahim melalui minat makanan.
Medan selera berkenaan kini mempunyai 23 unit yang menawarkan pelbagai pilihan makanan.