Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Media perlu utamakan ketepatan, profesionalisme dalam laporan

    SIBU, 26 OGOS – Komunikasi yang tepat dan laporan yang bertanggungjawab amat penting terutamanya apabila menyentuh isu-isu melibatkan kepentingan awam.

    Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, berkata wartawan memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat dan perlu mengekalkan profesionalisme dalam menyampaikan berita.

    “Apabila soalan diajukan, khususnya oleh media, saya memilih berterus terang. Jika saya tidak mempunyai fakta, saya tidak akan memberi jawapan. Sebaik sahaja kenyataan dilaporkan, ia sudah dalam domain awam dan tidak boleh dipadam daripada Internet atau media sosial. Ketepatan adalah amat penting,” katanya ketika berucap pada Malam Apresiasi Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, malam tadi.

    Annuar berkata beliau juga lebih suka membatasi komen dalam bidang tanggungjawabnya seperti pendidikan, inovasi dan pembangunan bakat serta mengelak membuat kenyataan politik atau isu di luar portfolionya.

    “Terdapat isu-isu sensitif termasuk yang berkaitan dengan politik atau parti komponen, yang lebih baik dikendalikan dengan berhati-hati,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka.

    Beliau berkata pengajaran semasa penularan pandemik COVID-19 menekankan keperluan untuk memberi maklumat yang tepat dan terkini kepada orang ramai.

    “Semasa krisis, komunikasi amat penting. Terdapat banyak khabar angin dan maklumat tidak tepat. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk bersiaran langsung hampir setiap hari bagi menjelaskan keadaan dan memberi jaminan kepada rakyat,” katanya.

    Mengenai kebajikan wartawan, Annuar menggesa pengamal media agar menitikberatkan aspek kesihatan, sambil mengumumkan rancangan untuk menaja pakej saringan kesihatan bagi ahli Persatuan Wartawan Sibu (SJA). – Bernama

    Datuk Dr Annuar Rapaee berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) 2025, baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda