ZAGREB, 9 Julai – Media Croatia memuji pasukan mereka selepas kemenangan dramatik dalam penentuan sepakan penalti ke atas pasukan tuan rumah Piala Dunia, Rusia, sekali gus menempah aksi separuh akhir menentang England.
“Moscow, Croatia akan tiba! Wahai England, gembira untuk berjumpa anda sekali lagi!” menurut akhbar Sportske Novosti. “Impian Croatia diteruskan,” menurut akhbar itu lagi, mengenang kejayaan pasukan legenda 1998, yang mara ke separuh akhir dalam Piala Dunia pertama Croatia sebagai negara merdeka.
“Selepas 20 tahun, kami berada di separuh akhir Piala Dunia.
Dan di sana, terdapat sebuah pasukan Inggeris yang ‘berhutang’ pada kami sejak 2009.”
England menewaskan Croatia 5-1 dalam kelayakan Piala Dunia 2009. Ia diikuti dengan satu lagi kekalahan memalukan pada tahun sebelumnya, Croatia tewas 4-1 kepada England di laman sendiri.

Perlawanan di Sochi minggu lalu menyaksikan Croatia dan Rusia terikat 2-2 hingga masa tambahan selesai, namun pasukan yang diketuai oleh Luka Modric itu meraih kejayaan 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti, dengan Ivan Rakitic menjaringkan penalti kemenangan.
Media berkata Rusia sukar untuk ditumbangkan, sehingga satu akhbar Croatia, Jutarnji List, menyatakan bahawa ‘Rusia mempunyai 100 nyawa dan tidak mahu mati’.
“Croatia tidak mahu mengaku kalah!” tajuk utama akhbar tersebut, bersama dengan sekeping gambar besar Rakitic memegang lututnya.
Kejayaan pasukan Croatia itu juga telah mencetuskan keraian puluhan ribu penyokong berbaju merah putih di bandar Zagreb dan beberapa bandar lain. – AFP