MADRID, 15 Jan – Media Sepanyol tanpa berlapik terus melemparkan kritikan terhadap Real Madrid, pasukan yang kini berdepan krisis selepas tewas 0-1 kepada Villareal di laman sendiri dalam aksi La Liga.
‘Sukar dijelaskan’ menjadi tajuk utama harian sukan Madrid, Marca hari ini, yang menunjukkan juara Sepanyol dan Eropah itu ‘tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka’ dalam La Liga.
Beberapa hari selepas Zinedine Zidane menandatangani kontrak sehingga 2020, persoalan serius mula diajukan terhadap kemampuan pengurus kelahiran Perancis itu untuk memperbaiki nasib pasukan selepas dua tahun menjulang kejuaraan.
Real hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan terakhir mereka dan hanya menang satu daripada lima perlawanan, prestasi yang menjerumuskan mereka ke tangga keempat liga, 16 mata di belakang pendahulu Barcelona yang akan menentang Real Sociedad.
“Tiada gol, tiada tuah dan tiada penjelasan,” lapor akhbar harian sukan AS di muka depan mereka.
“Semuanya serba tidak kena,” tulis editor Alfredo Relano menerusi kolumnya.
“Keputusan itu meletakkan Madrid dalam suasana lebih suram yang menyelubungi semua, termasuk Zidane.”
Mereka bukan saja dilihat sukar mempertahankan gelaran liga sebelum perlawanan semalam, malah kini wujud kebimbangan sama ada mereka juga bakal tersingkir daripada kedudukan empat teratas.
Real ini lapan mata di belakang Valencia di tangga ketiga yang menewaskan Deportivo semalam. Mereka juga satu mata mengatasi Villareal di tangga kelima, dan buat kali pertama sejak 2004, mereka terkeluar daripada kelompok tiga teratas dalam aksi La Liga.
Di Barcelona, media Catalan memanfaatkan kesempatan itu untuk terus menambah luka Real. – AFP