Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Media sosial bentuk tingkah laku perbelanjaan pengguna

    KUALA LUMPUR, 1 Mac – Pendedahan tinggi kepada media sosial yang menumpukan kehidupan selebriti, serta kemudahan membeli-belah rentas sempadan yang semakin bertambah baik, telah memberi pengaruh besar ke atas kecenderungan pengguna dalam memilih produk dan jenama sekali gus membentuk tingkah laku perbelanjaan mereka.

    Perubahan pesat di Internet secara global, bermula dengan tawaran produk di laman web sebelum berkembang kepada kedai dalam talian di platform media sosial, termasuk Facebook, Instagram dan Twitter, turut meletakkan penanda aras bagi pengguna, sehingga mendorong mereka membeli produk yang tiada di Malaysia semata-mata supaya tidak ketinggalan dengan trend semasa.

    Kajian Pengguna Internet 2017 yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mendapati penyertaan e-dagang pengguna telah meningkat kepada 48.8 peratus berbanding 35.3 peratus pada tahun sebelumnya.

    Transaksi e-dagang rentas sempadan berkembang di seluruh dunia, khususnya dengan kemajuan e-perbankan, e-penunaian dan perlindungan pengguna.

    Kajian itu juga mendapati 75 peratus pembeli dalam talian di Malaysia membuat belian tempatan, 20.3 peratus pula bagi pembelian tempatan dan luar negara, manakala 4.7 peratus membuat pembelian rentas sempadan.

    Gambar fail menunjukkan seorang pengguna ketika melayari internet bagi melakukan transaksi pembelian melalui dalam talian. Kajian Pengguna Internet 2017 yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mendapati penyertaan e-dagang pengguna telah meningkat kepada 48.8 peratus berbanding 35.3 peratus pada tahun sebelumnya. – AFP

    Mohamad Naqiuddin Mohamad Nordin yang menjual barangan muzik di bawah @Effloresce Records di Instagram berkata beliau menjual medium muzik edisi terhad – piring hitam dan kaset – di negara ini berdasarkan permintaan pelanggan.

    “Rekod muzik yang unik dan berasaskan penawaran-permintaan ini dijual pada harga lebih tinggi. Effloresce menawarkannya pada harga kompetitif berbanding penjual lain dalam talian.

    “Paling penting, masih wujud komuniti muzik yang suka mendengar muzik menerusi piring hitamdaripada muat turun. Kami membekalkan piring hitam pelbagai genre, daripada indie hingga punk, serta hip hop. Contohnya, baru-baru ini kami membeli, antaranya, ‘The National’, ‘Quicksand’ dan ‘Kendrick Lamar’,” katanya.

    Mengenai kos, Mohamad Naqiuddin berkata beliau tiada pilihan, bagi piring hitam dan kos pengeposan.

    “Harga bagi album ini adalah berbeza, selain itu ada caj penghantaran dan ia boleh menjadi satu hobi yang mahal,” katanya.

    Beliau berkata, jika pengguna membeli koleksi piring hitam menerusi Effloresce, caj purata setiap penghantaran adalah AS$5 berbanding kadar yang mencecah sehingga AS$25 di tempat lain.

    Mohamad Naqiudin berkata, proses pembelian rentas sempadan itu memerlukan pengguna membuat tempahan awal produk itu secara berurusan terus dengan pembekal di Amerika Syarikat (AS) untuk mengetahui barangan itu masih ada atau sebaliknya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda