Sunday, July 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Media sosial cetus krisis mental kanak-kanak

    AMSTERDAM, 11 JUN – Perkembangan media sosial yang tidak dikawal kini mendorong kepada krisis kesihatan mental global yang belum pernah berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kanak-kanak hari ini, sambil menyeru tindakan bersama yang segera di seluruh dunia.

    Laporan oleh KidsRights menyatakan bahawa satu daripada tujuh kanak-kanak dan remaja berumur antara 10 hingga 19 tahun mengalami isu kesihatan mental, dengan kadar bunuh diri global dalam kalangan remaja berumur 15 hingga 19 tahun berada pada tahap enam bagi setiap 100,000 orang.

    Namun, kadar ini hanya mencerminkan ‘bahagian kecil daripada masalah sebenar’ memandangkan kes bunuh diri sering tidak dilaporkan akibat stigma, menurut pertubuhan berpangkalan di Amsterdam itu.

    “Laporan tahun ini merupakan satu amaran yang tidak boleh lagi kita abaikan,” kata Pengerusi KidsRights, Marc Dullaert.

    “Krisis kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak kita telah mencapai tahap yang membimbangkan, diperburuk lagi oleh perkembangan media sosial yang tidak dikawal, yang mengutamakan penglibatan pengguna berbanding keselamatan kanak-kanak,” tambahnya.

    Laporan tersebut menyatakan penggunaan media sosial secara ‘bermasalah’ kini semakin meningkat, dengan kaitan langsung antara penggunaan internet yang berlebihan dan percubaan bunuh diri.

    Namun begitu, NGO itu memberi amaran bahawa larangan menyeluruh bukanlah penyelesaian terbaik.

    Australia telah meluluskan undang-undang untuk mengharamkan penggunaan media sosial bagi golongan bawah 16 tahun.

    “Larangan menyeluruh seperti ini mungkin melanggar hak sivil dan politik kanak-kanak,” termasuk hak untuk mendapat maklumat, menurut laporan itu. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda