SINGAPURA – Sebilangan besar belia di Singapura sedang mengalami gejala kemurungan, kebimbangan atau tekanan yang teruk atau sangat teruk, menurut tinjauan pertama di seluruh negara mengenai kesihatan mental belia oleh Institut Kesihatan Mental (IMH).
Hampir satu pertiga daripada golongan muda berumur 15 hingga 35 tahun melaporkan gejala termasuk rasa kosong, tegang atau kecewa kebanyakan masa, kata Kajian Kesihatan Mental Belia Kebangsaan.
“Mengharungi kerumitan dihadapi belia sudah cukup mencabar, tetapi golongan muda hari ini bergelut dengan isu unik yang tidak dialami oleh generasi terdahulu,” kata Profesor Madya Swapna Verma, yang mempengerusikan lembaga perubatan IMH dan merupakan penulis bersama kajian itu.
“Sebagai contoh, media sosial mendedahkan mereka kepada budaya membanding-banding berterusan, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai imej badan.
“Dunia dalam talian tanpa batasan juga telah mencetuskan buli siber, yang menambah dimensi baharu gangguan secara berterusan dan meluas.”
Golongan muda lebih cenderung melaporkan gejala yang dialami jika mereka mengalami buli siber, mempunyai kebimbangan sederhana hingga teruk tentang susuk badan mereka atau menghabiskan lebih daripada tiga jam setiap hari di media sosial, kata IMH, yang mengeluarkan keputusan pada 19 September lalu.
Kajian epidemiologi di seluruh negara menunjukkan wujudnya simptom kemurungan, kebimbangan dan tekanan ang teruk yang tersebar luas, bersama faktor berkaitan termasuk buli siber, kebimbangan susuk badan dan penggunaan media sosial yang berlebihan, serta jurang rawatan dan sumber sokongan dalam kalangan golongan muda di sini.
Angka satu pertiga itu adalah sama dengan hasil kajian penyelidikan lain yang berdasarkan laporan kendiri, kata Kementerian Kesihatan, Pendidikan dan Pembangunan Sosial dan Keluarga dalam kenyataan bersama pada 19 September.
Khususnya, kelaziman gejala kemurungan, kebimbangan dan tekanan yang lebih tinggi ditemui dalam kalangan mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun, dan dalam kumpulan etnik Melayu.
Antara Oktober 2022 dan Jun 2023, sejumlah 2,600 warga Singapura dan penduduk tetap melengkapkan satu set soal selidik sendiri, menggunakan tablet yang disediakan oleh penemu duga.
Kajian mendapati bahawa kebimbangan belia merupakan masalah kesihatan mental yang paling biasa dialami oleh golongan muda di Singapura. Kira-kira satu daripada empat orang dilaporkan mengalami simptom kebimbangan yang teruk atau sangat teruk dalam seminggu sebelum tinjauan. Ini termasuk perasaan bimbang, tertekan dan resah kebanyakan masa.
Kira-kira 15 peratus belia Singapura mengalami simptom kemurungan pada tahap yang sama, manakala hampir 13 peratus berasa amat tertekan, tidak dapat berehat, atau berasa kecewa atau mudah marah kebanyakan masa dalam seminggu sebelum tinjauan.
Perkara baik adalah kira-kira dua daripada tiga daripada mereka yang dilaporkan mengalami simptom kesihatan mental yang teruk atau sangat teruk meminta bantuan, terutamanya berbincang dengan keluarga dan rakan-rakan.
Satu daripada tiga belia tidak mendapatkan bantuan, walaupun mengalami simptom yang teruk atau sangat teruk. Profesor Swapna berkata ini memberi peluang kepada IMH untuk mencari jalan campur tangan awal, termasuk memperkukuh kurikulum kesihatan mental di sekolah.
Mereka yang memilih untuk tidak mendapatkan bantuan berkata ia adalah kerana mereka tidak fikir pakar dapat membantu mereka, atau mereka bimbang tentang apa yang difikirkan oleh orang lain tentang diri mereka. Satu lagi kebimbangan adalah tentang privasi, kerahsiaan dan mempunyai rekod kekal mengenai keadaan mereka.
Kajian mendapati bahawa golongan muda yang kurang berkemungkinan mengalami gejala kemurungan, kebimbangan atau tekanan yang teruk atau sangat teruk mempunyai tahap daya tahan yang lebih tinggi, tanggapan sokongan sosial dan harga diri yang lebih tinggi.
Walaupun tidak semua individu yang mengalami simptom kemurungan atau kebimbangan yang teruk atau teruk mempunyai keadaan klinikal, namun mengalami keadaan sedemikian untuk jangka masa yang lama boleh memudaratkan kesejahteraan mereka, kata Profesor Swapna.
Dengan mengenal pasti kumpulan yang berisiko lebih tinggi mengalami gangguan kesihatan mental, hasil kajian akan membantu penggubal dasar dan penyedia perkhidmatan membangunkan pendekatan yang lebih disasarkan dalam menangani keperluan mereka dan menghalang mereka daripada mengalami penyakit mental, tambahnya.
Kajian IMH, seperti kebanyakan kajian lain, menunjukkan bahawa penggunaan media sosial yang berlebihan merupakan kebimbangan kesihatan awam dan mempunyai kesan yang besar terhadap kesihatan mental belia, kata Profesor Madya Mythily Subramaniam, penolong pengerusi lembaga perubatan (penyelidikan) di IMH.
Penyelidikan di seluruh dunia mendapati bahawa remaja yang menghabiskan lebih daripada tiga jam setiap hari di media sosial mungkin berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan mental, terutamanya gangguan mood dan kebimbangan, katanya.
Pengenalpastian faktor penting yang berkaitan, seperti penggunaan media sosial yang berlebihan, kebimbangan susuk badan dan buli siber, juga menekankan pentingnya menyepadukan langkah pencegahan dalam perkhidmatan sekolah dan belia, tambahnya.
“Tambahan pula, ketiga-tiga faktor itu mungkin berpotensi berkaitan antara satu sama lain.
Masa yang dihabiskan orang muda di media sosial juga boleh dikaitkan dengan buli siber dan kedua-duanya boleh sama ada secara bebas atau bersama membawa kepada kebimbangan susuk badan,” katanya. – ANN/The Straits Times