Thursday, December 12, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Media sosial memudaratkan kanak-kanak

    WASHINGTON, 24 MEI – Pegawai kesihatan kanan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran tegas kepada ibu bapa, syarikat teknologi dan penggubal dasar mengenai bukti yang menunjukkan penggunaan media sosial memberi kesan serius pada kanak-kanak.

    Dalam satu makluman, Ketua Kor Perkhidmatan Kesihatan Awam AS, Vivek Murthy, berkata meskipun media sosial ada manfaat, terdapat petunjuk mencukupi bahawa ia membawa risiko serius terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan kanak-kanak serta remaja.

    “Media sosial boleh membantu kanak-kanak dan remaja berhubung dengan komuniti, namun turut mengandungi kandungan melampau, tidak sesuai dan berbahaya, yang boleh mendorong perbuatan mencederakan diri sendiri atau bunuh diri.

    “Ia boleh mencetuskan rasa tidak puas hati berterusan pada diri sendiri, kecelaruan pemakanan, kemurungan dan mendedahkan kanak-kanak kepada buli siber ketika mereka melalui fasa pertumbuhan minda yang kritikal,” katanya.

    Sehubungan itu, Murthy meminta penggubal dasar memperkukuh piawaian keselamatan media sosial, selain menggesa syarikat teknologi menilai kesan produk mereka kepada kanak-kanak secara bertanggungjawab dan berkongsi data berkenaan dengan penyelidik.

    Beliau turut menasihatkan ibu bapa untuk mewujudkan zon bebas gajet di rumah bagi menggalakkan komunikasi secara langsung, serta mendidik kanak-kanak menerusi contoh amalan dalam talian yang sihat lagi bertanggungjawab.

    Ketika ini, data Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan AS merekodkan 95 peratus remaja menggunakan pentas sosial dan lebih satu pertiga mengaku menggunakannya hampir secara berterusan. – AFP

    Gambar fail menunjukkan logo Facebook, Twitter, TikTok, Snapchat dan Instagram di skrin komputer di Lille. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda