Thursday, November 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Media sosial pengaruhi imej kecantikan kanak-kanak?

    SACRAMENTO, CALIFORNIA – Semasa dia berada dalam tingkatan lima, Scarlett Goddard Strahan mula berasa bimbang tentang kedutan.

    Pada masa usianya mencecah 10 tahun, Scarlett dan rakan-rakannya menghabiskan masa berjam-jam di TikTok dan YouTube menonton pempengaruh menawarkan produk untuk mencapai estetika kecantikan hari ini: kulit yang gebu, ‘berseri-seri,’ dan halus. Scarlett membangunkan rutin penjagaan kulit yang terperinci dengan pembersih muka, penyembur ‘mist’, pupur penghidratan dan pelembap.

    Pada suatu malam, kulit Scarlett mula terasa kulitnya seakan-akan terbakar dengan lepuh.

    Penggunaan produk orang dewasa telah mendatangkan masalah pada kulitnya.

    Beberapa bulan kemudian, tompok-tompok benjol kecil kelihatan di muka Scarlett, dan pipinya menjadi merah di bawah sinar matahari.

    Scarlett Goddard Strahan bergambar di rumahnya di Sacramento, California. – AP
    Scarlett Goddard Strahan menunjukkan pelembap Nivea di rumahnya di Sacramento. – AP
    Gambar AP
    Mia Hall bergambar bersama produk penjagaan kulit yang digunakannya secara tetap. – AP

    “Jika saya tahu hidup saya akan terjejas oleh rutin ini, saya tidak akan menggunakan produk ini di muka saya,” kata Scarlett, yang baru berusia 11 tahun.

    Pengalaman Scarlett telah menjadi perkara biasa, kata pakar, apabila gadis praremaja di seluruh negara membanjiri kedai kecantikan untuk membeli produk penjagaan kulit mewah.

    Kanak-kanak perempuan seawal 8 tahun datang ke pejabat pakar dermatologi dengan masalah ruam, luka lecur bahan kimia dan tindak balas alahan lain terhadap produk yang bukan dirumus untuk kulit sensitif kanak-kanak.

    “Apabila kanak-kanak menggunakan penjagaan kulit anti-penuaan, mereka sebenarnya boleh menyebabkan penuaan pramatang, memusnahkan lapisan kulit dan membawa kepada parut kekal,” kata Dr Brooke Jeffy, ahli dermatologi Scottsdale, Arizona.

    Lebih menimbulkan risiko fizikal, ibu bapa dan ahli psikologi kanak-kanak bimbang tentang kesan trend terhadap kesihatan mental kanak-kanak perempuan.

    Data yang ekstensif mencadangkan obsesi pada penampilan boleh menjejaskan harga diri dan imej badan sekali gus mencetuskan kebimbangan, kemurungan dan gangguan pemakanan.

    Obsesi penjagaan kulit menawarkan ruang kepada peranan media sosial dalam kehidupan belia hari ini dan bagaimana ia membentuk impian dan cita-cita ideal dan rasa tidak yakin kanak-kanak perempuan khususnya. Kanak-kanak perempuan mengalami tahap kesedihan dan rasa putus asa yang tinggi.

    Sama ada pendedahan media sosial menyebabkan atau hanya berhubung kait dengan masalah kesihatan mental sudah diperdebatkan.

    Namun bagi remaja yang lebih tua dan orang muda, ia adalah jelas: Masa berpanjangan yang dihabiskan di media sosial telah mendatangkan kesan buruk kepada mereka.

    Gadis muda yang terpesona dengan solekan dan kosmetik bukanlah perkara baharu.

    Begitu juga kanak-kanak yang tertarik dengan piawaian kecantikan yang ideal.

    Apa yang berbeza sekarang ialah magnitudnya, kata Kris Perry, pengarah eksekutif Children and Screens, sebuah organisasi bukan untung yang mengkaji cara media digital memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak.

    “Budak perempuan sedang dihujani dengan imej kecantikan ideal yang mewujudkan standard kecantikan yang mungkin sangat sukar – jika tidak mustahil – untuk dicapai,” kata Perry.

    Obsesi terhadap penjagaan kulit adalah lebih daripada mengejar kulit yang sempurna, jelas Mia Hall yang berusia 14 tahun.

    Ia mengenai tergolong dalam komuniti yang mempunyai gaya hidup dan penampilan yang awda inginkan, kata Mia, penghuni New York dari Bronx.

    Penjagaan kulit tiada dalam radar Mia sehingga dia memulakan gred lapan pada musim luruh lalu. Di sekolah dan di media sosial, kanak-kanak perempuan terikat dengan rutin penjagaan kulit mereka.

    “Saya rasa seperti itu satu-satunya cara saya diterima orang,” kata Mia. Dia mula mengikuti pempengaruh kecantikan di TikTok.

    Sesetengah pengaruh dibayar oleh jenama untuk mempromosikan produk mereka, tetapi mereka tidak selalu menyebutnya.

    Mia mula menyimpan elaun mingguannya AS$20 untuk kunjungan ke Sephora. Rutin hariannya termasuk pencuci muka, penyembur mist muka, serum penghidratan, toner mengetatkan liang, pelembap dan pelindung matahari.

    Tahap maklumat yang diperoleh gadis daripada tutorial kecantikan menghantar mesej yang merisaukan ketika mereka melalui akil baligh dan mencari identiti mereka, kata Charlotte Markey, pakar imej badan dan profesor psikologi Universiti Rutgers.

    Industri kecantikan telah mengambil kesempatan. Tahun lepas, pengguna di bawah umur 14 tahun menjana 49 peratus jualan kulit kedai ubat, menurut laporan NielsonIQ yang mendapati isi rumah yang mempunyai remaja berbelanja melebihi purata isi rumah Amerika ke atas penjagaan kulit.

    Dan pada separuh pertama 2024, satu pertiga daripada jualan kecantikan ‘prestij’, di kedai seperti Sephora, dijana oleh keluarga yang mempunyai remaja, menurut firma penyelidikan Circana.

    Industri ini telah mengakui produk tertentu tidak sesuai untuk kanak-kanak tetapi tidak banyak membantu untuk menghalang kanak-kanak daripada membelinya.

    Laman web Drunk Elephant mengesyorkan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak harus menggunakan serum, losyen dan scrub anti-penuaan mereka. Panduan itu terdapat di laman FAQ; tiada amaran sedemikian pada produk itu sendiri.

    Bahan-bahan seperti retinol dan pengelupasan kimia seperti asid hidroksi adalah bahan yang kuat. Untuk kulit yang menua, ia digunakan untuk merangsang pengeluaran kolagen dan sel.

    Kulit muda boleh bertindak balas dengan kemerahan, mengelupas dan terbakar yang boleh menyebabkan jangkitan, jerawat dan hipersensitiviti jika digunakan secara tidak betul, kata pakar dermatologi.

    Ibu Mia, Sandra Gordon, melihat tompokan gelap di mukanya pada musim bunga lalu dan berasa cemas.

    Dia membuang semua produk anak perempuannya ke dalam tong sampah.

    Mia tidak puas hati. Tetapi apabila dia memulakan sekolah menengah, dia kini merasakan ibunya betul. Dia hanya menggunakan pencuci muka dan pelembap dan mengatakan kulit wajahnya telah bertambah baik.

    Scarlett tidak perasan tanda-tanda bahawa produk itu yang mencederakan kulitnya: Dia mengalami ruam dan rasa pedih.

    Scarlett menganggap dia tidak menggunakan produk yang mencukupi, jadi dia menggunakan lebih banyak lagi. Ketika itulah pipinya berasa sakit dengan kulit melepuh.

    Apabila ibunya, Anna Goddard, membaca ramuan dalam setiap produk, dia terkejut apabila mendapati retinol dalam produk yang kelihatan dipasarkan kepada kanak-kanak – termasuk satu dengan muka kucing pada pembungkusan.

    Sekarang, apa yang paling membimbangkan ibunya ialah kesan psikologi. Komen kanak-kanak di sekolah telah menimbulkan kebimbangan yang berlarutan.

    Goddard berharap dapat melihat lebih banyak perlindungan diberikan. “Saya tidak tahu ada bahan berbahaya yang dimasukkan ke dalam penjagaan kulit yang dipasarkan kepada kanak-kanak,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda