Lebih setahun lalu, ketika setiap orang membiasakan diri dengan rutin normal baharu era pandemik COVID-19, Douglas Lim, 44, mencuri tumpuan dengan jenaka mencuit hati dalam aksi ‘stand up comedy’.
Kandungan video parodi berkaitan dengan isu semasa dan sindiran sinis yang dikongsi dalam media sosial dan platform YouTube, tular dan diminati ramai.
Malah, calon awal kategori Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 ini dianggap individu penting yang menyuntik keceriaan ketika rakyat bergelut dengan ujian besar ini.
Lebih utama, penyampai radio ini dilihat menjadi ejen muhibah yang menyatukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Rencah jenakanya yang dahulu dilihat ‘urban’ kini lebih santai dan dekat dengan majoriti rakyat Malaysia, selepas lebih dua dekad anak jati Kuala Lumpur ini terlibat dalam dunia seni.
“Benar, apabila pandemik menyerang dunia, saya sama seperti orang lain tidak dapat mencari rezeki seperti selalu.

“Apabila tidak dapat meneruskan kerja sebagai pelawak ‘stand-up’, mahu atau tidak, saya kena manfaatkan dunia digital termasuk media sosial selain Youtube.
“Jika diikutkan usia, saya sebenarnya jarang aktif dalam media sosial. Saya terarah kepada berlawak cara konvensional atau bersemuka.
“Era pandemik memberi hikmah dan membuka jalan untuk saya buat lebih banyak menghasilkan kandungan video lucu.
“Malah, tanpa diduga banyak jenama dan syarikat menyedari kandungan video jenaka saya. Dari sana, saya mendapat rezeki menghasilkan video untuk pelanggan.
“Cara ini lebih menuntut kerja berbanding komedi ‘stand-up’. Namun, saya bersyukur sekurang kurangnya ada kerja dan rezeki, jadi tiada rungutan,” katanya kepada wartawan.
Ramai mengaku jenaka disampaikan Douglas bagai terapi yang mengubat hati penonton yang resah berdepan dengan situasi pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Dahulu, saya tidak nafikan, jenaka saya lebih banyak dalam bahasa Inggeris. Tetapi, apabila saya menyampaikan lawak dalam bahasa Melayu dan ‘rojak’, ia lebih diterima secara meluas.
“Bayangkan, bukan hanya orang Melayu sahaja menonton video jenaka saya, malah kaum Cina dan India turut serta.
“Pada akhirnya, saya sedar, jika kandungan lawak itu bagus dan lebih utama dekat dengan perasaan mereka, pasti orang akan tengok.
“Setiap hari, ramai tertunggu-tunggu video baharu. Ini membuatkan saya kagum dan teruja. Saya faham ramai yang bergelut, bosan dan bersedih sekarang.
“Namun, jika kandungan jenaka begini mampu membuatkan mereka tersenyum walaupun sedikit, saya amat bersyukur,” katanya.
Bagaimanapun, Douglas menafikan jenaka dikongsi mempunyai agenda menjatuhkan individu tertentu termasuk dalam kalangan ahli politik dan tokoh berjawatan tinggi.
“Benar sebagai pelawak, kita buat video untuk buat orang ketawa. Sambil bergelak ketawa itu, kita cuba selit mesej dan nasihat.
“Namun, jauh sekali saya ada agenda tertentu hendak menjatuhkan sesiapa. Malah, sebagai pelawak, saya berpegang kepada prinsip untuk tidak menyentuh mengenai karakter atau keperibadian seseorang.
“Saya ditanya mengenai video yang dihasilkan konon untuk menyakitkan hati individu tertentu. Sebenarnya, jenaka dibuat menyindir perbuatan, bukan orang. Itulah yang dilakukan kebanyakan pelawak jika menghasilkan jenaka sindiran,” katanya. – Agensi