Wednesday, January 15, 2025
30.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Medvedev mara ke pusingan kedua Terbuka Australia

    MELBOURNE, 14 JAN – Naib juara tahun lalu, Daniil Medvedev, mengelak daripada menerima kejutan besar di Terbuka Australia hari ini sebelum menyertai Taylor Fritz dan Gael Monfils ke pusingan kedua.

    Sementara itu dalam perlawanan berasingan, Elena Rybakina, Emma Navarro dan Emma Raducanu menjadi pemenang awal pada hari ketiga di Melbourne.

    Manakala pemain kegemaran tuan rumah, Alex de Minaur dan pemain nombor empat dunia wanita, Jasmine Paolini, akan beraksi kemudian.

    Medvedev, finalis yang telah mengalami kekalahan tiga kali di Melbourne Park termasuk setahun lalu kepada Jannik Sinner, menjadi pilihan utama menentang pemain Thailand, Kasidit Samrej yang menduduki ranking ke-418.

    Tetapi dalam perlawanan pertamanya musim ini, pemain pilihan kelima dari Rusia itu hampir tidak dapat mengawal emosinya sebelum kembali untuk tenang.

    “Set kedua dan ketiga saya tidak dapat memukul bola dengan baik. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” kata Medvedev selepas akhirnya menang 6-2, 4-6, 3-6, 6-1, 6-2 di Rod Laver Arena.

    Sementara itu, pemain pilihan keempat Fritz tidak menghadapi masalah apabila dia menewaskan rakan senegaranya, Jenson Brooksby 6-2, 6-0, 6-3 untuk meneruskan usahanya merebut kejuaraan Grand Slam sulung.

    “Bukan mudah untuk bermain perlawanan pertama dalam Slam, ada sedikit kegusaran, jadi saya melakukan kerja yang sangat baik untuk mengekang mereka pada awal perlawanan dan bermain dengan sangat hebat,” kata Fritz, yang hanya mengambil masa 1 jam 46 minit untuk menyingkirkan rakan senegaranya. – AFP

    Aksi Medvedev mengembalikan bola kepada Samrej semasa perlawanan pusingan pertama mereka pada kejohanan tenis Terbuka Australia di Melbourne, Australia pada 14 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda