ACAPULCO, MEXICO, 26 FEB – Daniil Medvedev meraikan kenaikannya ke ranking nombor satu dunia dengan kemenangan 6-2, 6-3 ke atas Yoshihito Nishioka pada suku akhir Terbuka Mexico ATP kelmarin.
Pemain Rusia berusia 26 tahun itu beremosi selepas mengetahui dia akan mengambil alih tempat teratas hasil kekalahan suku akhir bintang Serbia, Novak Djokovic di Dubai beberapa jam sebelum itu.
Tetapi dia menyelesaikan tugas menentang Nishioka dari Jepun dan menempah pertembungan separuh akhir dengan Rafael Nadal dalam perlawanan ulangan final Terbuka Australia.
“Bukan mudah sebenarnya untuk bermain perlawanan apabila awda mendapat (berita) ini pada siang hari,” kata Medvedev mengenai mengekalkan fokusnya selepas mengetahui dia akan menggantikan Djokovic di puncak ranking pada Isnin.
Kekalahan Djokovic 6-4, 7-6 (7/4) di tangan pemain nombor 123 dunia Czech, Jiri Vesely memastikan pemerintahan Serbia itu akan berakhir.
“Sejujurnya, saya melihat dia kalah, tetapi saya tidak tahu jika dia kalah saya akan menjadi nombor satu,” kata Medvedev. “Saya fikir saya perlu melakukan sesuatu yang besar di sini. Jadi apabila saya menerima semua mesej, saya faham, OK, ia akan berlaku. – AFP
