Tidak sanggup dirinya diperkotak-katik oleh wanita tidak tahu menghormatinya, Meerqeen mendakwa lebih rela melepaskan cinta daripada terus berada dalam hubungan toksik.
Mungkin ada lelaki sanggup bertahan atas nama cinta, namun tidak buat jejaka ini kerana kesabarannya ada had.
Meerqeen tidak sanggup diherdik mahupun kepala dipijak, sebaliknya memilih untuk hidup bebas demi menjaga kesihatan mental.
“Mungkin kerana sayang, ada sesetengah lelaki sanggup bertahan meskipun terima layanan buruk daripada pasangan.
“Saya pernah melaluinya, tetapi saya tidak pernah melawan mahupun marah biarpun kepala bagai ‘dipijak-pijak’.
“Namun, kesabaran setiap orang pasti ada batasnya. Itu cerita dahulu, cuma saya nak orang tahu masih ramai lelaki ‘green flag’ yang sedia menerima apa sahaja demi cinta,” kata jejaka berusia 24 tahun itu.
Meerqeen atau nama sebenarnya, Shameer Shauqeen Shaiful Izam berkata, dia kini hanya ingin memberikan tumpuan kepada kerjaya lakonan.
Terbaharu, jejaka tinggi lampai itu bakal memegang watak berat sebagai Thariq Ridzuwan untuk drama Thariq Ridzuwan Commando’s: His Treasure.
Menyedari naskhah adaptasi novel itu mempunyai ramai peminat selain saranan segelintir pihak agar watak itu ditawarkan kepada pelakon lain, Meerqeen mengaku semua itu memberi tekanan.
Memulakan penggambaran sejak 10 April lalu, Meerqeen sudah bersedia untuk mendalami sisi Thariq yang sangat tenang.
“Saya anggap permintaan peminat mencadangkan nama pelakon lain sebagai cabaran untuk buktikan kemampuan memberi 100 peratus kepada drama ini.
“Saya sengaja tidak baca keseluruhan novel kerana ingin terjemahkan peribadi Thariq bersandarkan olahan skrip,” katanya.
Selain Meerqeen, drama bergenre aksi dan cinta itu turut membariskan Qasrina Karim, Noli K-Clique, Afiq Hamidon, Avertts Gomes, Mia Sara Shauki, Jay Iskandar dan Azri Safix. Drama ini bakal disiarkan Astro Ria, Julai depan. – Agensi
