Dipilih menggantikan pelakon senior dalam drama arahan Michael Ang, pasti ada sesuatu yang hebat dimiliki bakat baharu, Meerqeen.
Berusia 19 tahun, Meerqeen atau nama sebenar, Shameer Shauqeen Shaiful Izam berbangga dipilih Michael menghidupkan watak utama dalam drama rantaian Takdir Kita.
“Biarpun sebelum ini ada kontroversi di sebalik pemilihan teraju utama itu, saya masih berbangga dipilih sebagai pelakon ganti.
“Boleh dikatakan drama Takdir Kita adalah antara naskhah besar buat saya, biarpun sebelum ini, saya pernah membawa watak utama dalam filem televisyen (TV), Kelaster.
“Saya gembira orang lain percaya keupayaan saya. Jadi, saya menggunakan kepercayaan itu sebaik-baiknya,” katanya kepada media.
Meerqeen sebelum ini pernah menolak tawaran Michael disebabkan terikat dengan pengajian dalam bidang insurans di Kolej Vokasional, Gombak.
“Saya pernah dapat tawaran Michael bagi drama Satukan Rasa. Namun, ketika itu, tapi saya tidak boleh terima kerana perlu menduduki ujian.
“Alhamdulillah, saya dapat tebus semula melalui drama Takdir Kita,” katanya. – Agensi
