Pelakon Malaysia, Meerqeen mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia lakonan selama sembilan bulan sebagai persiapan sebelum memulakan penggambaran sebuah filem aksi pada tahun depan.
Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 24, berkata tempoh rehat diisi dengan latihan serta persiapan rapi untuk menjayakan watak dalam naskhah baharu itu.
“Saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan dan mula bercuti September lalu sehingga Mei depan.
“Namun cuti ini bukan untuk duduk diam. Saya gunakan masa ini untuk membuat persiapan fizikal dan mental kerana penggambaran akan bermula tahun hadapan,” katanya kepada mStar.
Menurut Meerqeen, dia sememangnya terbiasa memberikan ruang kepada diri sendiri untuk ‘melepaskan’ sisa watak lama sebelum menyelami karakter baharu.
“Kalau orang tengok saya senyap, bukan bermakna saya tak buat apa-apa. Saya sedang sediakan diri sepenuhnya untuk projek seterusnya.
“Kali ini saya bukan saja tumpu pada fizikal, tapi juga mendalami karakter dengan lebih mendalam. Saya cuba dimensi baru yang belum pernah saya bawa sebelum ini,” ujarnya.
Meerqeen bagaimanapun memilih untuk tidak berkongsi lanjut tentang projek tersebut kerana mahu menjadi kejutan buat peminat.
“Saya percaya projek ini adalah yang terbaik pernah saya sertai. Minat saya terhadap lakonan sangat mendalam, jadi saya perlu ada rasa ‘lapar’ supaya dapat memberikan yang terbaik tanpa gangguan.
“Saya mahu buat perubahan menyeluruh, bukan sahaja dari segi fizikal tapi juga cara saya mendekati watak. Ini cabaran yang saya ambil dengan penuh komitmen,” ujarnya. – Agensi


