Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meerqeen yakin potensi diri tiada alasan untuk putus asa

    Pelakon Meerqeen meluahkan kekecewaan apabila impiannya untuk meraih sesuatu kejayaan dipandang rendah segelintir pihak.

    Kata Meerqeen atau Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 23, dia kesal apabila orang luar hanya melihat kekurangan berbanding potensi yang dimiliki oleh seseorang.

    “Guru dan kawan sekelas saya pernah cakap yang impian saya terlalu besar, di luar jangkauan dan mustahil untuk dicapai. Ia agak mengecewakan apabila mendengar keraguan mereka terutamanya daripada orang yang sepatutnya memberikan sokongan. Saya sedar mereka berfikir seperti itu sebab hanya melihat limitasi orang lain berbanding potensi diri saya sendiri,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

    Bersama kapsyen tersebut, Meerqeen turut berkongsi beberapa keping foto kejayaannya bekerjasama dengan jenama antarabangsa dan visi untuk tahun 2022. Sebelum ini, Meerqeen menerima kritikan daripada warganet kerana menyatakan impian mahu memperolehi trofi Anugerah Akademi atau Oscar.

    Menyedari laluan untuk meraih pencapaian itu agak sukar, Meerqeen bagaimanapun berkata dia kekal positif dan terus komited untuk bekerja keras. Baginya, kejayaan tidak datang bergolek sekiranya dia tidak berani berdepan risiko serta cabaran.

    “Perjalanan untuk mencapai sesuatu yang besar bukanlah jalan mudah atau lurus. Ia memerlukan kerja keras, ketahanan, dan keberanian untuk terus maju. Saya belajar bahawa impian besar tidak patut menjadi alasan untuk berputus asa, sebaliknya ia harus menjadi motivasi untuk berusaha,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Meerqeen turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa yakin dengan potensi diri mereka sendiri tanpa perlu mendengar kata-kata kecaman pihak lain.

    “Ingat ini, impian anda mencerminkan potensi diri anda, bukan had yang ditetapkan oleh orang lain. Saya berharap semua orang ada keberanian untuk menolak keraguan dan mengejar impian mereka,” ujarnya. – Agensi

    Meerqeen kecewa apabila impiannya untuk menjulang anugerah Oscar dipandang rendah. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda