Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Mega Fiesta KUPU SB tawar pelbagai aktiviti menarik

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Lebih 40 peniaga yang terdiri daripada para pelajar, alumni, warga Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) termasuk peniaga luar menyertai Mega Fiesta KUPU SB 2025 yang dianjurkan selama dua hari bermula hari ini, 12 Februari sehingga 13 Februari di Dewan Tarbiah, KUPU SB.

Acara yang julung-julung kalinya diadakan merupakan satu platform yang memberi peluang kepada mahasiswa, mahasiswi dan alumni KUPU SB serta peniaga-peniaga mempamerkan produk-produk mereka di samping meneroka peluang baharu dalam dunia perniagaan.

Perkara berkenaan diketengahkan oleh Pengarah Pusat llmu Teras selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Mega Fiesta KUPU SB 2025, Haji Mohd Syahiran bin Haji Mohd Sofian.

Hadir merasmikan acara berkenaan adalah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Turut hadir ialah Raes KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa mahasiswi KUPU SB.

Pelbagai aktiviti menarik menanti sepanjang acara berkenaan antaranya bazar dan gerai-gerai keusahawanan.

Selain itu, acara-acara lain turut diadakan seperti Sesi Taklimat Kerjaya, Sesi Kongsisama Usahawan Berjaya, Program Peningkatan Kompetensi, Persembahan Sketsa dan juga Pameran Kokurikulum yang melibatkan pasukan-pasukan beruniforum KUPU SB seperti Kadet Tentera, Kadet Polis, Kadet Bomba dan Penyelamat, Pasukan Pengakap Kelana, Pasukan Pandu Puteri dan Pasukan Bulan Sabit Merah.

Acara STUDI @ KUPU SB turut diadakan di mana ia akan memberi peluang kepada orang ramai yang berminat untuk melanjutkan pengajian di KUPU SB untuk mendapatkan maklumat berkaitan kursus atau program pengajian daripada peringkat pra-siswazah hingga ke peringkat pasca siswazah yang ditawarkan di KUPU SB.

Orang ramai dialu-alukan berkunjung dan memeriahkan lagi Mega Fiesta berkenaan yang diadakan hari ini dan esok bermula pada jam 8 pagi hingga 6 petang di Kampus KUPU SB.

Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf hadir selaku tetamu kehormat dalam acara berkenaan.

Semua di atas: Antara yang hadir.

Semua di atas: Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf hadir semasa melawat antara pameran yang disediakan. –  GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda