Mehrtens, Kefu suntik semangat pemain pelapis

IPOH, 25 FEB – Buat julung kalinya legenda ragbi antarabangsa, Andrew Mehrtens dari New Zealand dan Toutai Kefu dari Australia dibawa untuk mengadakan Sesi Klinik Ragbi untuk atlet sukan Malaysia, kata Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Beliau berkata sesi klinik di lima lokasi melibatkan negeri Perak dan Selangor itu, diadakan bagi menyuntik semangat para pemain dari semua peringkat, termasuk yang masih di bangku sekolah untuk terus berjaya di masa hadapan.

“Syukur Alhamdulillah, semua ini berhasil atas inisiatif Penaung Diraja Kesatuan Ragbi Malaysia Sultan Nazrin Shah dan pada majlis makan malam Diraja semalam, tuanku bertitah bahawa ini bukan kali terakhir.

“Bagi saya ini peluang keemasan buat anak-anak ini untuk mendapat tunjuk ajar dan pendedahan daripada legenda ragbi dunia, jadi diharap menjadi satu suntikan semangat mereka satu hari nanti boleh berada di persada dunia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Klinik Ragbi di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrul Zaman berkata klinik berkenaan akan diadakan di lima lokasi iaitu di STAR; Kolej Melayu, Kuala Kangsar; padang Kelab Cobra, Petaling Jaya; Akademi Ragbi Selangor dan Universiti Putra Malaysia, yang melibatkan kira-kira 1,200 peserta terdiri dari pelajar sekolah rendah hingga pemain kebangsaan.  Sementara itu, Toutai Kefu berkata, beliau gembira kerana diberikan peluang untuk mengajar dan berkongsi pengalaman dengan pemain ragbi di Malaysia.

“Ragbi telah berikan pelbagai peningkatan kepada keluarga saya dan saya hanya mahu berikan semula kepada kanak-kanak ini. Kesemua mereka menunjukkan potensi yang baik dan saya terkejut kerana mereka dapat mengikutnya dengan cepat jadi tentunya mereka benar-benar mendengar,” katanya.

Sementara itu, bagi ketua pasukan ragbi STAR, Muhammad Ammar Firdaus Mohd Zainol, 14, menyifatkan kesempatan menyertai klinik ragbi berkenaan merupakan satu peluang keemasan.

“Walaupun singkat latihan ini, tapi saya rasa ia amat membantu di masa hadapan, kerana teknik yang diajar mudah tapi amat berkesan,” katanya. – Bernama

Aksi Legenda ragbi Andrew Mehrtens ketika perlawanan lalu. Andrew Mehrtens dan Toutai Kefu dibawa untuk mengadakan Sesi Klinik Ragbi untuk atlet sukan Malaysia. – Agensi