KUALA LUMPUR, 27 FEB – Pemain beregu campuran Malaysia, Teoh Mei Xing mengakui tahap keserasian bersama Hoo Pang Roon yang digandingkan bersama sejak tiga bulan lepas semakin meningkat.
Walau bagaimanapun, beliau berkata mereka masih membuat persediaan rapi dari segi fizikal dan mental perlu ditingkatkan selepas gandingan itu mengesahkan penyertaan dalam empat kejohanan berturut-turut di Eropah.
Mei Xing berkata, beliau dan Pang Roon juga perlu fokus dan konsisten dalam setiap siri kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam misi memburu gelaran pertama musim ini.
Pang Roon-Mei Xing yang menghuni ranking ke-67 dunia, akan membuka tirai kejohanan Eropah bermula dengan Terbuka Jerman dari 7 hingga 12 Mac, Seluruh England (14 hingga 19 Mac), Terbuka Switzerland (21 hingga 26 Mac), Masters Sepanyol (28 Mac hingga 2 April).
Pemain berusia 25 tahun itu mengakui sentuhan jurulatih dari Indonesia, Nova Widianto banyak membantu mereka memperbaiki kelemahan dalam setiap perlawanan selain sering menasihati mereka untuk mempunyai kepercayaan dan keyakinan tinggi terhadap pasangan ketika berdepan lawan.
Ditanya tahap persediaannya untuk turun bertemu rakan senegara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di pusingan pertama Terbuka Jerman, beliau berkata latihan sedang giat dijalankan untuk mendapat keputusan positif dalam kejohanan berkenaan.
“Saya tahu mereka (Tang Jie-Ee Wei) punya kelemahan dan mereka juga tahu kami punya kelemahan jadi setiap kali kami masuk gelanggang ia adalah 50-50. Ia bergantung pada tahap persediaan, tahap keyakinan kami hari itu macam mana,” katanya.
Mengikut rekod pertemuan sebelum ini, Pang Roon-Mei Xing pernah menewaskan Tang Jie-Ee Wei sekali di Cabaran Antarabangsa Malaysia 2022, sebelum tewas dua kali berturut-turut di pusingan pertama Terbuka India 2023 dan final kejohanan Cabaran Antarabangsa Iran Fajr awal bulan lepas. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/02/P23-4-web_28022023.jpg)