Oleh Amri HTZ
Gambar oleh ZacBuilds
Sesetengah penghias akan menumpukan reka bentuk utama sesebuah perhiasan bagi menyesuaikan dengan minat dan ruangan di mana ia diletakkan.
Manakala sesetengahnya lagi lebih kepada ketelitian dan corak yang terdapat pada permukaan perhiasan lebih-lebih lagi jika ia terbuat daripada kayu. Obsesi sedemikian sering dimiliki oleh pengkarya sesebuah rekaan, yang inginkan ciptaannya dihargai dan berbaloi untuk dibeli.
Walau bagaimanapun, kedua-duanya kekal penting untuk diambil perhatian bagi memastikan perhiasan tersebut mampu menghiasi sesebuah ruangan ketika ia ditempatkan.
Peralatan penting perlu disediakan
Projek ini akan mereka meja kopi yang mempunyai corak herringbone pada permukaan utama digabung dengan besi sebagai kaki meja.
Sebelum memulakan projek rekaan, awda perlu menyediakan beberapa batang kayu, angle iron berukuran 1 ¼ inci lebar dan 1/8” tebal, nat dan bolt panjang 1 inci, gam kayu, cat sembur besi berwarna hitam dan clear, mesin pemotong kayu meja, pita pengukur, mesin kimpalan, mesin pemotong besi (angle ginder), alat pengepit kayu, circular saw, kertas pasir dan wood finish.
Reka permukaan utama meja
Kayu-kayu yang tersedia terlebih dahulu dipotong dengan panjang dan tebal yang sama sebelum dicantumkan menjadi satu. Tetapkan rip fence mesin pemotong kayu meja dengan jarak 1 ¼ inci dari bilah pemotong. Setelah itu sorong perlahan kayu-kayu menggunakan push stick sebagai keselamatan. Panjang kasar kayu pula kira-kira 20 inci di mana langkah mendapatkan potongan kayu tersebut dengan cepat juga memerlukan bantuan rip fence mesin pemotong. Kira-kira 48 batang kayu diperlukan untuk menyempurnakan permukaan utama meja.
Bagi ketebalan kayu pula, awda perlu menetapkan rip fence dengan jarak 1 1/4 inci daripada bilah pemotong. Ketebalan untuk permukaan utama meja ini tidak semestinya 100 peratus diikuti, awda juga boleh mengimprovisasi jika memerlukan ketebalan yang lebih untuk menyesuaikan dengan minat. Kelebihan permukaan meja yang tebal ketika dicantumkan akan mengurangkan risiko wraping namun ia juga memberi kesan kepada berat keseluruhan rekaan. Ia penting ketika mengalihkan perhiasan lebih-lebih lagi jika seorang diri.
Kesemua kayu yang telah dipotong kemudiannya akan dicantumkan menjadi satu dengan corak herringbone. Untuk memudahkan proses mencantumkannya, meja kerja yang luas akan diperlukan pada langkah ini. Dua batang kayu berukuran 1 inci x 1 inci dengan panjang 25 inci diperlukan sebagai alat bantuan atau acuan untuk corak tersebut.
Kedua-dua batang kayu tersebut akan ditetapkan pada permukaan meja membentuk 90 darjah menggunakan skru. Sebelum itu, meja kerja perlu diletakkan alas plastik bagi melindungi meja daripada lelehan gam kayu nanti. Setelah menetapkan kayu acuan tersebut, letakkan satu persatu kayu yang dipotong sebelumnya dengan setiap permukaan cantuman (sisi) disapukan menyeluruh menggunakan gam kayu.
Bahagian hujung kayu akan disusun secara berbalas ketika susunan kedua kayu dan seterusnya bagi memberikan corak yang seimbang. Apabila kesemua kayu telah disusun, kini tiba masanya awda mengekal dan mengetatkan cantuman menggunakan alat pengepit kayu. Sebahagian alat akan digunakan untuk menetapkan kedudukan cantuman pada permukaan meja agar tidak melengkung atau bergerak, sementara sebahagian alat lagi untuk menetapkan kedudukan cantuman seperti yang boleh dilihat pada gambar disediakan.
Tunggu gam mengering
Biarkan gam mengering selama 24 jam sebelum meneruskan langkah pembuatan. Apabila sudah mengering, cantuman kayu tersebut akan dipotong untuk mendapatkan bentuk permukaan segi empat tepat. Sebelum itu, tandakan ukuran diperlukan iaitu 22 inci lebar dan 36 inci panjang menggunakan pensel. Setelah garisan dibuat potong kayu tersebut menggunakan circular saw dengan bantuan guide rail.
Keseluruhan permukaan meja kemudiannya diratakan semula menggunakan kertas pasir. Ini bagi memastikan tiada permukaan yang bertingkat hasil proses cantuman sebelumnya mahupun bagi membuang permukaan yang dikotori dengan lelehan gam kayu.
Reka kaki meja
Sementara bagi bahagian kaki meja yang terbuat daripada besi, angle iron berukuran 1 ¼ inci lebar dan 1/8” tebal akan dipotong menggunakan angle grinder. Kaki meja yang direka akan berbentuk trapezium di mana memerlukan awda untuk memotong besi dengan kedudukan 100 darjah pada bahagian atas (sudut hujung besi) dan 80 darjah pada bahagian bawah.
Untuk bahagian atas, awda perlu memotong kaki meja dengan panjang 36 inci, 18 inci untuk sisi kanan dan kiri, dan 30 inci untuk bahagian bawah. Sementara itu untuk bahagian penyokong kaki meja, empat batang besi flat stock steel diperlukan dengan panjang 22 inci. Kesemua besi yang dipotongkan ini kemudiannya akan dikimpal untuk mencantumkannya.
Tetapkan kekuatan voltan mesin mengikuti kesesuaian dan rod kimpal yang digunakan.
Setelah mengimpalnya, bersihkan permukaannya menggunakan berus dawai. Bagi permukaan kimpalan yang tidak sempurna, awda boleh meratakannya menggunakan angle grinder dengan grinding disk.
Dalam memastikan permukaan besi tidak menghasilkan karat ketika berdepan kelembapan, ia akan dilindungi dengan cat berwarna hitam. Pilih cat yang bersesuaian dengan besi agar mampu bertahan lama dan tidak mengelupas.
Cantum kesemua bahagian
Sebelum awda mencantumkan permukaan utama meja dengan kakinya, terlebih dahulu lindungi permukaan kayu menggunakan wood finish pilihan. Lebih kurang dua lapisan wood finish diperlukan dengan setiap lapisan dibiarkan mengering sebelum lapisan seterusnya diberikan.
Sementara pada permukaan atas kaki meja pula akan ditebuk dengan empat lubang bagi membolehkan nat dan bolt dimasukkan untuk menetapkan kedudukan permukaan meja.
Gunakan diameter mata gerudi yang sedikit besar daripada bolt digunakan untuk memudahkan ia dimasukkan. Bolt jenis carriage akan digunakan memandangkan kepalanya berbentuk membulat dan sesuai untuk permukaan meja. Dengan langkah mengetatkan nat dan bolt, kini meja ala perindustrian bersedia untuk menghiasi ruangan rumah awda. Selamat mencuba!