Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meja makan kosong, hati penuh sepi

    Kadang-kadang saya tertanya, bagaimana rasanya hidup dalam keluarga yang betul-betul harmoni. Saya lihat orang lain makan bersama keluarga, bergelak ketawa, saling bertanya khabar dan saya hanya mampu memandang dari jauh. Saya cemburu, bukan kerana mereka punya harta, tapi kerana mereka punya kasih yang saya tak pernah rasa.

    Di rumah, semuanya dingin. Kami tinggal sebumbung, tapi hati masing-masing jauh. Tiada gurauan, tiada perhatian, tiada pelukan hangat yang membuat seseorang rasa ‘aku disayangi’. Setiap kali waktu makan, saya makan seorang diri. Kadang saya dengar suara orang lain bergelak di meja makan mereka, dan saya hanya termenung dengan pinggan di depan, rasa kosong.

    Hari lahir saya pun sama. Tak ada ucapan, tak ada kek, tak ada siapa yang ingat. Saya pura-pura tak kisah, tapi sebenarnya hati saya perit. Saya beli kek kecil sendiri, nyalakan lilin, dan senyum paksa di depan cermin hanya untuk rasa sekejap yang saya masih wujud.

    Saya tahu, saya patut kuat. Tapi kadang-kadang kuat itu pun ada hadnya. Saya penat berpura-pura tak apa-apa. Saya cuma nak sedikit perhatian, sedikit kasih, cukup untuk tahu saya juga penting dalam keluarga ini.

    Yang tinggal hanyalah saya dan kesunyian yang sudah lama saya biasakan. Namun dalam diam, hati ini tetap berharap agar suatu hari nanti, rumah ini kembali menjadi tempat untuk pulang, bukan sekadar ruang untuk menahan rasa sepi.

    Gambar Unsplash

    Mia

    NASIHAT DANG MP –

    Terima kasih kepada Mia kerana sudi berkongsi perasaan dengan pembaca Media Permata.

    Perasaan yang awda rasai ini sangat berat dan ia jelas datang daripada tempat yang penuh kerinduan dan kekosongan yang mungkin telah lama dipendam.

    Bila seseorang melihat keluarga lain bergelak ketawa, makan bersama, dan saling menyayangi, memang mudah untuk tertanya-tanya kenapa hidup sendiri tak begitu.

    Kehidupan dalam rumah yang dingin boleh membuat seseorang rasa seperti tak wujud, walaupun setiap hari berada dekat secara fizikal. Lebih-lebih lagi apabila hari ulang tahun turut tidak diingati dan ini menunjukkan diri tidak dihormati.

    Apa yang boleh awda lakukan adalah cubalah perlahan-perlahan cuba mendekati ahli keluarga seorang demi seorang. Cuba bersikap terbuka untuk berbual-bual tentang perkara-perkara kecil dan ringan untuk bertukar-tukar pendapat.

    Apabila ikatan telah mula terjalin semula, cuba ajak ahli keluarga untuk mencari masa untuk melaksanakan aktiviti bersama. Sebagai contoh bersiar-siar di taman rekreasi atau berkelah di pantai.

    Daripada memori yang dicipta melalui aktiviti bersama diharapkan ikatan antara Mia dan keluarga mula terbentuk kembali. Seterusnya ikatan mula dipelihara menjadi satu ikatan yang saling menyayangi antara satu sama lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda